Sebuah konsortium yang diketuai Hong Leong Holdings telah memperoleh pinjaman hijau sebanyak $692 juta bagi membiayai pembangunan projek kediaman pelbagai kegunaan swasta di kawasan Tengah.
Pembangunan tersebut akan turut menerapkan ciri-ciri berasaskan alam semula jadi.
DBS Bank, pemberi pinjaman utama dan penasihat hijau tunggal bagi perjanjian tersebut, akan menyumbang $484 juta kepada pinjaman hijau itu, manakala OCBC akan menyediakan baki $208 juta, menurut DBS pada 3 Jun.
Dibentuk selaras dengan Prinsip Pinjaman Hijau yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, pembiayaan tersebut akan menyokong pelaburan konsortium itu dalam prasarana hijau dan integrasi ekologi.
Konsortium tersebut merangkumi rakan usaha sama GuocoLand dan CSC Land Group, lapor The Business Times (BT).
Ketua kumpulan bagi hartanah dan perkapalan, penerbangan, logistik dan pengangkutan, serta perbankan institusi di DBS, Encik Chew Chong Lim, menyatakan bahawa perubahan iklim berlaku semakin pantas dan merubah cara penduduk di sini hidup, bekerja dan beriadah.
“Dalam landskap yang terus berubah ini, menyepadukan alam semula jadi ke dalam pembangunan bandar menjadi semakin penting untuk membina kawasan kediaman yang lebih mampan dan berdaya tahan, di mana orang ramai dapat berkembang maju sambil menikmati keindahan alam semula jadi,” katanya.
Projek tersebut terletak di atas tapak sekitar 25,458 meter persegi di Tengah Garden Avenue.
Ia dijangka dapat menawarkan sekitar 860 rumah dengan kemudahan runcit bersepadu. Projek tersebut dijangka dilancarkan pada 2026.
Ia akan mempunyai reka bentuk mesra biodiversiti, landskap berasaskan tumbuhan tempatan dan teknologi pembinaan pintar untuk meningkatkan integrasi ekologi.
Selain itu, projek tersebut juga akan mengurangkan kesan terhadap alam sekitar dan menyokong kehidupan bandar yang mampan.
Pengurus besar bagi projek di Hong Leong Holdings, Encik Loke Kee Yeu, berkata kumpulan tersebut berhasrat menarik satu masyarakat kediaman swasta yang mementingkan alam sekitar di Tengah.
Di samping itu, ia akan juga menerapkan amalan hijau secara bertanggungjawab, seiring dengan peralihan ke arah ekonomi rendah karbon.
Projek tersebut sejajar dengan rancangan Singapura untuk membangunkan kawasan Tengah – kawasan perumahan awam baru Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) – sebagai sebuah ‘bandar hutan’ yang mesra alam dan kurang kereta.
Apabila siap sepenuhnya, kawasan perumahan Tengah dijangka dapat menempatkan sekitar 42,000 rumah baru, dalam koridor hutan selebar 100 meter dan sepanjang 5 kilometer.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg