Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Untung UOB pada suku pertama lebih rendah dari jangkaan

May 7, 2025 | 8:02 PM
Singapura, Singapore, UOB, profit, untung, bank
UOB menggantung panduan pendapatan bagi 2025, dengan menyatakan unjuran tersebut hanya akan disambung semula apabila keadaan makroekonomi kembali stabil. - Foto fail

Bank UOB melaporkan pada 7 Mei pendapatan sebanyak $1.49 bilion bagi suku pertama, yang tidak mencapai jangkaan penganalisis berikutan ketidaktentuan makroekonomi yang memberi tekanan kepada prestasi bank tersebut.

Bagi tempoh Januari hingga Mac, keuntungan bersih UOB kekal mendatar tahun ke tahun pada paras $1.49 bilion, lapor The Straits Times.

Jumlah itu lebih rendah daripada unjuran penganalisis dalam tinjauan Bloomberg yang menjangkakan pendapatan sekitar $1.54 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif UOB, Encik Wee Ee Cheong, dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa ketidaktentuan makroekonomi yang berpunca daripada tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat telah mencetuskan ketidaktentuan pasaran serta gangguan dalam perdagangan global.

“Kami menjangka pertumbuhan global yang perlahan dalam jangka masa terdekat dan kekal berwaspada di tengah-tengah prospek global yang tidak menentu,” katanya.

Bank ketiga terbesar di Singapura itu turut menggantung panduan pendapatan bagi 2025, dengan menyatakan bahawa unjuran tersebut hanya akan disambung semula apabila keadaan makroekonomi kembali stabil.

Bagi suku pertama, pendapatan faedah bersih meningkat 2 peratus kepada $2.41 bilion berbanding 2024, didorong oleh pertumbuhan pinjaman yang kukuh.

Pendapatan yuran bersih pula melonjak 20 peratus tahun ke tahun kepada $694 juta, disumbangkan oleh peningkatan dalam yuran berkaitan pinjaman dan pengurusan kekayaan.

Sementara itu, pendapatan bukan faedah lain merosot 5 peratus berbanding 2024 kepada $554 juta, berikutan penurunan dalam pendapatan dagangan dan pelaburan.

UOB turut menegaskan komitmennya terhadap pelan agihan modal sebanyak $3 bilion.

Pada Februari lalu, ia mengumumkan akan kembalikan lebihan modal berjumlah $3 bilion kepada para pemegang saham dalam tempoh tiga tahun akan datang, menyusuli pencapaian keuntungan tertinggi sebanyak $6 bilion bagi 2024.

UOB membuka tirai musim laporan kewangan bank-bank tempatan, dengan DBS dijadual mengumumkan keputusan pada 8 Mei, diikuti OCBC pada 9 Mei.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg