Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

DBS jangka usaha guna AI bakal jana nilai ekon lebih $1b

Jun 20, 2025 | 1:49 PM
Sejak memberi tumpuan kepada kecerdasan buatan (AI), DBS telah mewujudkan lebih 350 kes penggunaan dan kini mempunyai sebanyak 1,500 model dalam pengeluaran.
Sejak memberi tumpuan kepada kecerdasan buatan (AI), DBS telah mewujudkan lebih 350 kes penggunaan dan kini mempunyai sebanyak 1,500 model dalam pengeluaran. - Foto fail

Bank-bank sedang mempergiatkan usaha dalam penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), dan DBS – yang telah menjana $750 juta hasil daripada teknologi itu – menganggarkan nilai ekonominya boleh melepasi $1 bilion pada 2025.

Sejak memberi tumpuan kepada AI, DBS telah mewujudkan lebih 350 kes penggunaan dan kini mempunyai sebanyak 1,500 model dalam pengeluaran, kata Ketua AI Generatif dan Aliran Kerja DBS, Encik Rajeev Hassamal, pada 19 Jun.

Beliau berkata demikian semasa persidangan SuperAI Singapore yang berlangsung selama dua hari di Pusat Ekspo dan Konvensyen Marina Bay Sands.

Kes penggunaan membawa maksud penerangan mengenai tingkah laku sebuah sistem daripada pandangan pengguna.

Namun begitu, para peserta persidangan turut membincangkan cabaran dalam mencari keseimbangan antara inovasi dengan penggunaan AI secara bertanggungjawab ketika membangunkan model AI.

“Mencari titik keseimbangan itu sangat sukar,” kata Encik Hassamal.

Berucap dalam satu sesi panel mengenai penyepaduan antara AI dengan sektor kewangan, beliau menekankan kepentingan memastikan semua pekerja memahami cara teknologi itu berfungsi.

“Kita perlu pastikan orang ramai faham cara menggunakan teknologi ini,” kata Encik Hassamal, yang turut memperkenalkan chatbot AI generatif dalaman DBS, DBS-GPT. 

Chatbot itu dapat membantu kakitangan DBS menghasilkan kandungan dan menyelesaikan tugasan penulisan dalam persekitaran yang selamat.

Dalam sesi panel berasingan, Naib Presiden Penyelidikan Gunaan di Capital One, Encik Sambit Sahu, berkata landskap AI dan pembelajaran mesin telah berubah sepenuhnya sejak lima tahun lalu, lapor The Business Times (BT).

Menurut beliau, model bahasa besar (LLM) kini telah berkembang daripada melakukan tugasan mudah, kepada mengambil pendekatan yang lebih proaktif dan berdikari. 

Salah satu kegunaan AI ialah meniru tugasan yang biasa dilakukan oleh para pekerja, tetapi dengan lebih cekap, memandangkan bank berurusan dengan jumlah data yang besar, jelas Encik Sahu.

Menurut Ketua Pegawai AI di EFG Bank, Cik Sigrid Rouam, AI generatif juga boleh digunakan untuk tugasan berkaitan pematuhan, seperti menyemak sumber dana daripada pelanggan bank.

AI juga boleh membantu dalam tugasan bukan berkaitan nasihat – yang mengambil sehingga 70 peratus daripada masa para pengurus hubungan, katanya. 

“Kesemua ini sepatutnya boleh diautomasi dan dipermudah secara sepenuhnya,” tambah beliau.

Penguasa Kewangan Singapura (MAS) telah memberi amaran bahawa garis panduan perlu diwujudkan di tengah-tengah perlumbaan institusi kewangan untuk menggunakan AI dalam sektor tersebut.

Ketua Pegawai Fintech MAS, Encik Kenneth Gay, menegaskan bahawa bank pusat sangat menekankan kepentingan pematuhan peraturan, kerana ia merupakan kelebihan daya saing negara ini.

MAS telah memulakan sebuah inisiatif, ‘Project MindForge’, pada 2023, untuk mengkaji risiko dan peluang AI generatif untuk bank.

Encik Gay berkata, memandangkan institusi kewangan kini berada di tengah-tengah proses pembangunan dan penggunaan aplikasi AI generatif, mereka sedang mendapatkan penjelasan lanjut daripada pemerintah mengenai ciri-ciri khusus yang perlu dimasukkan dalam aplikasi tersebut.

Beliau menambah bahawa MAS bercadang menerbitkan sebuah panduan pada 2025, yang akan memberi institusi kewangan penjelasan lebih mendalam mengenai pertimbangan risiko dalam kes penggunaan utama AI.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg