Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

DBS rancang ganda jumlah pinjaman di Australia dalam 5 tahun

Satu perjanjian dengan agensi dagang akan bantu biayai lebih banyak pelaburan antara perniagaan Australia dengan Asia Tenggara
Jun 19, 2025 | 3:14 PM
DBS, Australia, Austrade, biaya, perdagangan, pelaburan
DBS Bank telah menandatangani satu perjanjian dengan agensi perdagangan Austrade, yang akan membantunya memudahkan dan membiayai lebih banyak perdagangan dan pelaburan antara perniagaan Australia dengan Asia Tenggara. - Foto REUTERS

SYDNEY: DBS Group berhasrat menggandakan jumlah pinjamannya di Australia dalam tempoh lima tahun akan datang, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bank tersebut, Cik Tan Su Shan.

Sasaran pinjaman tersebut ditetapkan sedang bank yang beribu pejabat di Singapura itu berusaha memanfaatkan hubungan perdagangan antara Australia dengan Asia Tenggara.

Bank tersebut memaklumkan pada 18 Jun bahawa ia telah menandatangani satu perjanjian dengan agensi perdagangan Austrade, yang akan membantunya untuk memudahkan dan membiayai lebih banyak perdagangan dan pelaburan antara perniagaan Australia dengan Asia Tenggara, terutamanya dari Singapura, Indonesia, Malaysia dan Vietnam.

Cik Tan berkata bahawa jumlah pinjaman DBS di Australia kini bernilai sekitar A$11 bilion ($9.2 bilion) dan jumlah tersebut boleh dinaikkan hampir seganda kepada A$20 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang, lapor The Straits Times (ST).

“Syarikat Australia lebih mengutamakan pasaran domestik. Kami sedang berusaha mengubah naratif ini,” kata Cik Tan dalam satu sidang media pada 17 Jun.

Merujuk kepada pelanggannya di Australia, iaitu AirTrunk, sebuah pengendali pusat data yang dibeli oleh sebuah konsortium yang diketuai Blackstone pada harga A$24 bilion pada 2024, Cik Tan berkata bahawa syarikat tersebut adalah antara yang pertama melabur dalam pusat data di luar Australia.

“Kami ingin sekali mengulangi kejayaan itu bersama syarikat besar Australia yang lain,” katanya.

DBS mencatatkan keputusan suku tahunan yang lebih baik daripada jangkaan pada Mei, dirangsang oleh yuran perniagaan pengurusan harta yang meningkat 35 peratus berbanding Mei 2024, kepada paras tertinggi suku tahunan sebanyak $724 juta.

Keputusan memberangsangkan tersebut disebabkan sentimen pasaran yang kukuh, tambahnya.

Aset di bawah pengurusan (AUM) DBS, yang merupakan bank terbesar di Asia Tenggara, meningkat 13 peratus kepada paras tertinggi $432 bilion pada suku pertama 2025.

Cik Tan berkata meskipun kedudukan dolar Amerika dan status Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat masih dianggap selamat, sebilangan pelanggan DBS telah mula mempelbagaikan pelaburan masing-masing dan beralih daripada pelaburan yang terikat dengan dolar.

Keputusan tersebut antara lain telah memberi manfaat kepada Jepun, katanya.

Menurut beliau lagi, minat terhadap mata wang euro dan yen kini semakin bertambah.

Dengan yen yang semakin kukuh, bank tersebut mendapati ramai pelabur kini berminat meneroka pelbagai peluang perniagaan berasaskan yen, katanya. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg