Bank DBS tersenarai sebagai majikan pilihan utama lulusan baharu di Singapura bagi tahun 2026, menurut tinjauan tahunan GTI Media Singapore.

Tinjauan yang berlangsung dari Jun 2025 hingga April 2026 ini melibatkan lebih 10,500 pelajar dan lulusan daripada 22 institusi pengajian tinggi di Singapura.

GTI, pakar dalam pengambilan graduan dan penjenamaan majikan, turut menyelidik aspirasi kerjaya serta jangkaan gaji para responden.

Kementerian Pendidikan (MOE) menduduki tempat kedua, mengekori rapat di belakang DBS.

Syarikat lain yang turut tersenarai dalam kelompok 10 teratas termasuk Microsoft, Marina Bay Sands, dan Micron.

Majikan lain yang turut tersenarai dalam kedudukan 10 teratas ialah AMD, JPMorgan, Mandai Wildlife Group, Mastercard serta Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*Star).

Sebanyak 45 syarikat tempatan dan agensi awam berjaya menembusi senarai 100 majikan pilihan utama.

Bagi lulusan, gaji dan imbuhan menjadi penentu utama dalam memilih majikan, mengatasi aspek lain seperti prospek kerjaya, jaminan kerja, kepimpinan yang baik, serta suasana rakan sekerja yang harmoni.

Tinjauan mendedahkan bahawa tujuh daripada 10 responden menjangkakan kesukaran mendapatkan pekerjaan pada tahun 2026, meningkat daripada 65 peratus pada tahun sebelumnya.

Para lulusan turut menjangkakan mereka akan meluangkan masa lebih lama untuk mencari pekerjaan, dengan 60 peratus menjangkakan tempoh pencarian akan mengambil masa antara tiga bulan dengan setahun.

Malah, lebih satu pertiga daripada responden menjangkakan perlu menghantar lebih daripada 40 permohonan pekerjaan.

Kos sara hidup kekal menjadi kebimbangan kritikal, di mana empat daripada lima graduan risau akan kemampuan mereka mengurus perbelanjaan harian dengan gaji permulaan yang ada.

Tahap kegelisahan ini semakin meningkat berbanding 73 peratus pada tahun 2025.

Akibatnya, jangkaan gaji median graduan melonjak kepada julat $60,000 hingga $70,000, berbanding julat $50,000 hingga $60,000 pada tahun sebelumnya.

“Hakikat bahawa para lulusan tidak ragu-ragu menyatakan secara terbuka bahawa gaji merupakan keutamaan nombor satu mereka apabila menilai tawaran kerja, harus dilihat sebagai satu petanda bahawa mereka jelas berasa bimbang tentang memenuhi keperluan mereka dalam pasaran kerja semasa,” kata Pengarah Urusan GTI, Encik Isaac Hee.

Hampir dua pertiga lulusan juga menyuarakan kebimbangan tentang pelaksanaan kecerdasan buatan (AI) dan kesannya terhadap kerjaya impian mereka, meningkat daripada sekitar separuh pada 2025.

“Berita baiknya ialah tiada bukti bahawa AI generatif boleh menggantikan pekerjaan dalam erti kata yang bermakna,” kata Encik Hee.

Beliau memetik kajian pada Julai 2025 oleh Institut Teknologi Massachusetts (MIT) yang mendapati bahawa 95 peratus projek rintis AI perusahaan gagal memberi penjimatan kewangan atau peningkatan keuntungan ketara kepada syarikat.

Lebih satu pertiga daripada responden turut menyatakan hasrat untuk mencari peluang pekerjaan di luar negara, dengan 60 peratus daripada mereka didorong oleh prospek kemajuan kerjaya lebih baik di luar Singapura.

Di sebalik kebimbangan tersebut, 70 peratus responden berkata isu moral dan etika tetap memainkan peranan penting dalam pemilihan majikan. 

Sekitar 69 peratus juga menyatakan keinginan untuk merasakan bahawa kerjaya mereka “memenuhi tujuan sosial lebih luas melangkaui diri mereka sendiri”.