Sentimen pengambilan pekerja di Singapura jatuh ke paras terendah sejak 2021, tetapi majikan bersedia membayar lebih bagi pekerja yang mempunyai kemahiran kecerdasan buatan (AI) dan kemahiran berfikir secara kritis.

Dua pertiga daripada 599 syarikat di Singapura yang ditinjau syarikat agensi pekerjaan, ManpowerGroup, berkata mereka akan membayar gaji premium bagi golongan pekerja celik AI.

Hasil dapatan itu paling ketara dalam sektor awam, perkhidmatan kesihatan dan sosial, serta perkhidmatan profesional, saintifik dan teknikal.   

Golongan majikan yang ditinjau turut menyatakan kesediaan membayar lebih bagi model AI dan kemahiran pembangunan aplikasi (64 peratus); dan teknologi maklumat tradisional dan kemahiran data (56 peratus); dedah tinjauan pekerjaan suku tahunan firma pengambilan pekerja tersebut pada 9 Jun. 

Kemahiran insaniah seperti pemikiran kritis, penyelesaian masalah, komunikasi, kerjasama, kepimpinan dan pengaruh sosial juga diberi ganjaran dengan gaji lebih tinggi oleh majikan. 

Apabila ditanya mengenai rancangan pengambilan pekerja bagi suku tahun selanjutnya mulai Julai, 41 peratus majikan berkata mereka menjangka dapat mengekalkan tahap jumlah kakitangan sekarang, manakala 22 peratus menjangka penurunan tenaga kerja.

Antara mereka yang menjangkakan dapat mengekalkan keadaan semasa, 27 peratus mahu melihat bagaimana ekonomi berubah sebelum membuat keputusan pengambilan pekerja.   

Pengurus Negara ManpowerGroup Singapore, Cik Linda Teo, berkata ramai majikan memilih untuk tidak terlalu bergantung kepada pekerja sehingga keadaan geopolitik menjadi lebih jelas. 

“Ini tidak bermakna majikan mendiamkan diri. Sebaliknya, keputusan mengambil pekerja menjadi lebih memilih dan disengajakan,” katanya sambil menambah, pelaburan bakat semakin terarah pada “kemahiran yang memberikan kesan paling besar”.   

“Kesediaan berterusan untuk membayar pendapatan premium bagi AI dan keupayaan berfikir secara kritis mencerminkan pendekatan berasaskan kemahiran untuk mengambil pekerja, apabila sesebuah syarikat memberi tumpuan kepada mengukuhkan daya penghasilan, kecekapan dan daya saing jangka panjang walaupun sentimen pengambilan pekerja secara keseluruhan kian perlahan,” katanya.  

Dua lagi laporan baru-baru ini turut menunjukkan majikan sanggup membayar lebih untuk kemahiran AI. 

Firma sumber manusia sejagat, Deel, menyatakan dalam laporan keadaan pengambilan pekerja sejagat 2025 yang dikendalikan, hampir separuh majikan yang ditinjau menawarkan gaji premium sebanyak 25 peratus atau lebih tinggi bagi peranan pakar AI, dengan 14.8 peratus pula sanggup membayar 50 peratus atau lebih tinggi berbanding kebiasaan bayaran industri.

Syarikat Singapura juga menonjol sebagai majikan utama tenaga pengajar AI, berbanding pasaran yang lebih besar di rantau Asia Pasifik. 

Laporan data pendapatan sektor teknologi 2025 yang dikeluarkan oleh platform kerjaya, NodeFlair, pada Mei lalu menunjukkan jurutera yang memiliki kemahiran AI menikmati gaji lebih tinggi, dengan mereka yang memegang jawatan peringkat junior menerima kenaikan gaji tertinggi sehingga 25 peratus.

Ini bermakna seorang jurutera perisian junior yang memperoleh gaji bulanan $4,800 boleh menerima kenaikan hingga $6,000 sekiranya mempunyai kemahiran AI. 

Dalam satu lagi tinjauan yang dijalankan antara November 2025 dengan Januari 2026, firma perkhidmatan profesional, Aon, mendapati syarikat di Singapura kian giat memanfaatkan AI, dengan 42 peratus telah melaksanakannya sepenuhnya, manakala 38 peratus lagi sedang menjalankan projek perintis. 

Kajian itu juga mendapati 88 peratus daripada mereka yang ditinjau bersetuju AI akan mencipta peluang baharu dan memerlukan kemahiran baharu dalam bidang mereka.

Sepanjang tiga tahun mendatang, keupayaan menyesuaikan diri dan pengurusan perubahan dianggap kemahiran paling penting bagi kejayaan syarikat di sini.   

Rakan Kongsi Aon yang juga Ketua Penghuraian Bakat di Asia Tenggara, Encik Rahul Chawla, berkata Singapura mendahului banyak negara dalam meningkatkan kemahiran kerana ia adalah salah satu ekonomi Asia Tenggara paling berjaya, dan menjadi tumpuan syarikat yang berada di hadapan pertumbuhan. 

Bagaimanapun, sementara Singapura menonjol dari segi penerimaan AI, jurang tetap kekal, berdasarkan tinjauan kendalian firma perunding, Deloitte, yang meraih pendapat lebih 22,500 penduduk Generasi Z dan milenial di seluruh dunia, termasuk 302 orang di Singapura. 

Hampir sembilan dalam 10 responden di Singapura menggunakan AI dalam kerja harian mereka, berbanding purata sejagat sebanyak 74 peratus bagi kedua-dua generasi.

Walaupun kebanyakan daripada mereka berkata AI memberi kesan positif kepada kehidupan kerja mereka, kurang satu pertiga berkata alat AI yang disediakan oleh majikan mereka mungkin tidak mencukupi.   

Sebanyak 40 peratus daripada golongan Gen Z dan 47 peratus golongan milenial di Singapura berkata mereka akan terus mencari peluang latihan AI baharu, sedang teknologi berkembang.

Mereka juga menggunakan AI untuk mengenal pasti peluang pembelajaran dan pembangunan, menangani tekanan berkaitan kerja dan mendapatkan nasihat kerjaya.

Pada masa yang sama, penyelidikan baharu mendapati lebih ramai pekerja takut ketinggalan zaman kerana kadar penggunaan AI kian berleluasa dan kesediaan pekerja menjadi lebih ketara. 

Kajian Pasaran Sejagat Pengalaman Pekerja 2026 yang terkini oleh WTW, sebuah firma runding cara insurans dan modal insan, menunjukkan sementara penggunaan AI semakin pesat, banyak firma belum lagi dilengkapi untuk menyokong tenaga kerja mereka melalui peralihan tersebut. 

“Pekerja bukan sahaja melihat AI mengubah bentuk kerja, mereka merasakannya, mengharunginya dan mempersoalkan bagaimana mereka akan menyesuaikan diri mereka pada masa akan datang,” kata Ketua Pengalaman Pekerja Sejagat WTW, Cik Jill Havely.

“Syarikat yang mengambil langkah proaktif dalam membentuk pengalaman pekerja bagi mengatasi keresahan ini dapat menukarkan keraguan kepada keyakinan. Ini membantu pekerja melihat masa depan yang cerah, di mana peranan mereka masih penting,” ujar Cik Havely.