Bermula 11 Jun, warga emas berusia 65 tahun ke atas boleh memohon mana-mana kad kredit DBS/POSB menggunakan pembayaran CPF Life sebagai bukti pendapatan.
Bank tersebut mengumumkan pada 10 Jun bahawa ia merupakan bank pertama untuk secara rasmi mengiktiraf pembayaran CPF Life sebagai pendapatan dalam menilai permohonan kad kredit.
Buat masa ini, bank biasanya menilai pendapatan untuk permohonan kad kredit berdasarkan gaji, pendapatan sewa dan pendapatan pelaburan.
Langkah DBS susulan pengesahan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) baru-baru ini bahawa bank boleh mempertimbangkan pembayaran CPF Life sebagai sumber pendapatan yang sah bagi pesara berusia lebih 65 tahun untuk kemudahan pinjaman tidak bercagar baru seperti kad kredit.
DBS berkata langkah mengiktiraf pembayaran CPF Life sebagai pendapatan dalam menilai permohonan kad kredit menekankan komitmen bank itu untuk membolehkan pesara mengakses alat kewangan yang menyokong gaya hidup mereka.
“Walaupun sesetengah (bank) mungkin menerima pembayaran CPF Life sebagai bukti pendapatan atas dasar budi bicara, proses itu masih kurang ketelusan dan jaminan.
“Pengiktirafan rasmi dan jelas DBS terhadap pembayaran CPF Life mengakui pembayaran bulanan ini sebagai pendapatan sepanjang hayat yang boleh dipercayai, memberikan warga emas akses yang lebih adil kepada pilihan kredit yang mungkin tidak dapat dicapai sebelum ini,” menurut kenyataan tersebut.
Dengan penduduk Singapura yang semakin menua dan pergantungan yang semakin meningkat terhadap pembayaran CPF bagi pendapatan, dasar baru ini melengkapkan usaha DBS untuk mengukuhkan keselamatan kewangan dan memastikan maruah serta kebebasan bagi warga emas.
Ia juga merupakan sebahagian daripada komitmen bank itu yang lebih luas untuk menangani keperluan masyarakat yang semakin tua dan menyokong semua warga emas dalam penuaan dengan baik, tambah kenyataan itu lagi.
Ketua Kumpulan Perbankan Pengguna, DBS Singapura, Encik Calvin Ong pula berkata:
“Kami mempunyai lebih 900,000 pelanggan warga Singapura atau Penduduk Tetap yang berumur 65 tahun ke atas dan mengetahui betapa pentingnya pembayaran CPF dalam menyokong keperluan dan aspirasi harian pesara.
“Dengan mengiktiraf pembayaran (CPF Life) sebagai pendapatan, kami memastikan warga emas terus mendapat akses adil kepada kredit dan keistimewaan yang disertakan dengan kad tersebut.
“Langkah ini memastikan perbankan kekal boleh diakses dan bermakna bagi pelanggan warga emas kami, supaya mereka boleh menikmati persaraan yang memuaskan.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg