Defisit tahunan yang ditanggung Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) untuk memastikan perkhidmatan bas awam di sini terus beroperasi telah mengecil kepada $852 juta – paras terendah dalam tujuh tahun.
Penyata kewangan terkini LTA menunjukkan bahawa defisit daripada operasi bas awam jatuh di bawah paras $1 bilion buat kali pertama dalam tempoh enam tahun, turun daripada paras tertinggi kira-kira $1.2 bilion dua tahun sebelumnya.
Penurunan itu sebahagian besarnya didorong peningkatan hasil tambang yang diperoleh LTA daripada perjalanan bas awam, serta bayaran lebih rendah yang dibayar kepada firma pengangkutan yang dikontrak untuk jalankan perkhidmatan bas awam di sini.
Ini bermakna subsidi pemerintah bagi menampung kekurangan bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac 2024 berkurangan, lapor The Straits Times.
Di Singapura, perkhidmatan bas beroperasi di bawah model kontrak, yang bermaksud pemerintah memiliki semua aset operasi dan mengutip tambang.
Firma pengangkutan seperti SBS Transit dan SMRT membida kontrak untuk jalankan laluan bas dalam tempoh masa tetap dengan bayaran tetap.
Hasil tambang daripada bas meningkat kepada $898 juta pada tahun kewangan 2023/2024, naik kira-kira 9 peratus berbanding $821 juta sebelumnya.
Ini adalah lebih tinggi daripada $862 juta yang diperoleh LTA pada tahun kewangan 2019/2020, sebelum wabak Covid-19 melanda dan bilangan penumpang pengangkutan awam merosot.
Jumlah penumpang bas dan kereta api telah pulih, walaupun belum sepenuhnya.
Pada separuh pertama 2024, anggaran purata penumpang harian adalah kira-kira 97 peratus daripada paras pada 2019.
Tambang bas dan kereta api juga meningkat setiap tahun dalam beberapa tahun kebelakangan.
Tambang naik sehingga empat sen pada 2021, sehingga lima sen pada 2022 dan sehingga 11 sen pada 2023.
Tambang dijangka meningkat semula sehingga 10 sen mulai 28 Disember, yang akan menambah lagi pendapatan LTA.
Pihak berkuasa juga dapat menurunkan bayaran perkhidmatan dan insentif yang dibayar kepada pengendali bas.
Pada tahun kewangan 2023/2024, ia membayar $1.61 bilion kepada pengendali bas, turun daripada $1.68 bilion pada tahun sebelumnya dan $1.65 bilion pada tahun sebelum itu.
Secara keseluruhannya, operasi bas awam di sini mencatatkan lebihan bersih keseluruhan sebanyak $36 juta selepas mengambil kira geran pemerintah, yang berjumlah $888 juta.
Pada tahun kewangan 2022/2023, geran pemerintah untuk bas berjumlah $1.05 bilion. Tahun sebelumnya, ia adalah $1.21 bilion.
Jumlah perbelanjaan operasi LTA terus meningkat pada tahun kewangan 2023/2024, melangkaui $5 bilion buat kali pertama.
Namun, ini diimbangi oleh pendapatan operasi yang lebih tinggi, iaitu lebih daripada $2 bilion.
Akibatnya, jumlah defisit sebelum bantuan pemerintah menyusut kepada $2.79 bilion, turun daripada $2.91 bilion sebelumnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg