Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tiada kaitan gangguan dengan cara tetapkan tambang khidmat pengangkutan awam

Terdapat langkah tentu punca dan kenakan penalti untuk pastikan piawaian dipenuhi 
Oct 15, 2024 | 5:47 PM
Perkhidmatan kereta api antara stesen MRT Jurong East dengan Buona Vista terjejas pada 25 hingga 30 September selepas sebuah kereta api menyebabkan kerosakan besar ke atas trek dan peralatan di tepi landasan sepanjang 2.55 kilometer.
Perkhidmatan kereta api antara stesen MRT Jurong East dengan Buona Vista terjejas pada 25 hingga 30 September selepas sebuah kereta api menyebabkan kerosakan besar ke atas trek dan peralatan di tepi landasan sepanjang 2.55 kilometer. - Foto ST

Gangguan dan tahap perkhidmatan pengangkutan awam tidak harus dikaitkan dengan cara tambang ditetapkan, kata Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, di Parlimen pada 15 Oktober.

Ini kerana terdapat langkah lain untuk memastikan piawaian perkhidmatan dipenuhi, katanya dalam kenyataan menteri yang beliau sampaikan mengenai gangguan besar di Laluan Timur-Barat (EWL) yang melumpuhkan perkhidmatan kereta api selama enam hari.

Perkhidmatan kereta api antara stesen MRT Jurong East dengan Buona Vista terjejas pada 25 hingga 30 September selepas sebuah kereta api menyebabkan kerosakan besar ke atas trek dan peralatan di tepi landasan sepanjang 2.55 kilometer.

Sekitar tiga juta penumpang terjejas sebelum perkhidmatan kereta api disambung semula pada 1 Oktober.

Encik Gerald Giam (GRC Aljunied), telah bertanya sama ada Majlis Pengangkutan Awam (PTC) akan mempertimbangkan untuk menyemak peningkatan tambang yang dijadualkan pada Disember berikutan gangguan itu, yang merupakan antara gangguan paling teruk dalam sejarah 37 tahun sistem MRT Singapura.

Beliau turut bertanya sama ada keandalan perkhidmatan dalam tempoh menjelang tarikh kenaikan tambang yang diusulkan itu boleh dipertimbangkan sebagai satu faktor dalam formula pelarasan tambang.

Mulai 28 Disember, tambang pengangkutan awam akan naik sebanyak 6 peratus.

Ini bermakna setiap perjalanan kereta api dan bas akan naik 10 sen untuk orang dewasa yang membayar menggunakan kad.

Encik Chee menerangkan bahawa PTC sebelum ini telah mengkaji sama ada semakan tambang perlu dikaitkan kepada gangguan dan tahap perkhidmatan, dan telah memutuskan untuk tidak mengambil pendekatan itu.

Ini kerana terdapat langkah lain untuk memastikan piawaian perkhidmatan dipenuhi, katanya.

“Bagi gangguan perkhidmatan, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) akan menentukan punca dan akauntabiliti, dan mengenakan penalti di mana perlu.

“Di samping itu, apabila pengendali tidak memenuhi sasaran keandalan, mereka juga tidak akan menerima bayaran di bawah skim insentif kami,” kata Encik Chee.

Beliau menerangkan, semakan tambang tahunan bertujuan memastikan tambang setara dengan perubahan dalam kos operasi supaya sistem pengangkutan awam kekal mampan dari segi kewangan.

PTC akan mempertimbangkan perubahan dalam pemacu kos bagi tempoh setahun yang lalu, berdasarkan formula tambang, katanya.

Sebagai contoh, peningkatan maksimum yang dibenarkan pada 2024 adalah 18.9 peratus, disebabkan oleh 15.6 peratusan mata yang dibawa dari tahun sebelumnya.

PTC, bagaimanapun, memutuskan untuk menangguh sebahagian besar daripada peningkatan itu dan menaikkan tambang sebanyak 6 peratus bagi memastikan kemampuan, kata Encik Chee.

“Jika tambang kita tidak diselaraskan untuk mencerminkan peningkatan kos operasi, kekurangan berterusan akan memberi kesan teruk terhadap keandalan dan mutu perkhidmatan dari masa ke masa.

“Atau jika kita mahu terus menokok kekurangan melalui subsidi pemerintah, ini bermakna pembayar cukai perlu membiayai bil lebih besar,” katanya.

Encik Chee juga menjawab beberapa pertanyaan tentang bagaimana kos gangguan kereta api itu akan ditanggung.

Beliau berkata tanpa mengambil kira hasil siasatan, SMRT akan menanggung kos menyediakan perkhidmatan bas biasa dan bas penghubung percuma, hasil tambang yang terlepas semasa gangguan itu dan kerja-kerja pembaikan yang dijalankan.

Keperluan itu ditetapkan bagi kedua-dua pengendali rel, SMRT dan SBS Transit, sekiranya mereka mengalami gangguan di sepanjang laluan kereta api masing-masing, katanya.

Ditanya mengenai pampasan kepada penumpang yang terjejas, Encik Chee berkata mereka yang keluar di antara stesen Boon Lay dengan Queenstown tidak dikenakan bayaran untuk perjalanan kereta api mereka.

SimplyGo, yang mengendalikan pembayaran untuk pengangkutan awam, telah memberi bayaran balik kepada penumpang yang dikenakan bayaran untuk dua perjalanan dan bukannya satu kerana mereka telah melebihi had 45 minit untuk pemindahan.

Penumpang boleh menghubungi SimplyGo jika mereka mempunyai sebarang soalan mengenai tambang mereka, tambah Encik Chee.

“Jika tambang kita tidak diselaraskan untuk mencerminkan peningkatan kos operasi, kekurangan berterusan akan memberi kesan teruk terhadap keandalan dan mutu perkhidmatan dari masa ke masa.”
Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg