Singapura boleh mempertimbangkan membenarkan perniagaan membayar cukai tokokan domestik dan berbilang negara yang akan datang secara ansuran tanpa faedah, bagi mengurangkan kesan rangka kerja cukai minimum di bawah Peraturan Model Anti-Hakisan Dasar Global (GloBE) terhadap perniagaan yang terjejas.
Itu adalah salah satu cadangan yang dikemukakan oleh firma perkhidmatan profesional Deloitte dalam senarai harapan Belanjawan 2025 mereka pada 26 Disember.
Deloitte turut mengemukakan cadangan meluaskan skim insentif Kredit Pelaburan Boleh Dikembalikan (RIC).
Mulai 2025, syarikat berbilang negara (MNC) beroperasi di Singapura dan layak dikehendaki membayar kadar cukai efektif minimum sebanyak 15 peratus ke atas keuntungan kumpulan mereka, selaras dengan rangka kerja Tunggak Kedua bagi Hakisan Dasar dan Peralihan Untung (Beps 2.0).
Cukai itu akan dikenakan ke atas MNC yang menjana pendapatan tahunan disatukan sekurang-kurangnya 750 juta euro ($1.1 bilion) sepanjang dua daripada empat tahun kewangan yang lalu.
Singapura akan melaksanakan langkah itu melalui Cukai Tokokan MNC (MTT) dan Cukai Tokokan Dalam Negara (DTT), yang akan mengisi jurang apabila kadar cukai efektif MNC kurang daripada 15 peratus, baik pada peringkat antarabangsa mahupun dalam negara.
DTT akan memastikan entiti berpusat di Singapura memenuhi kadar cukai efektif minimum global sebanyak 15 peratus.
MTT pula akan dikenakan ke atas syarikat berpusat di Singapura yang mempunyai saham dalam entiti berpusat di negara yang mempunyai kadar cukai lebih rendah.
Menurut Cik Liew Li Mei, Ketua Cukai Antarabangsa Deloitte Singapura, cadangan memberi pilihan kepada MNC untuk membuat pembayaran cukai secara ansuran akan membantu MNC mengurus aliran tunai mereka dengan lebih baik dalam tempoh peralihan.
Singapura memperkenalkan RIC semasa Belanjawan 2024 untuk mendorong syarikat membuat pelaburan besar yang dapat memacu ekonomi negara ini, lapor The Business Times (BT).
RIC merupakan kredit cukai dengan ciri tunai yang boleh dikembalikan.
Bagi meningkatkan keberkesanan RIC, Deloitte mencadangkan ia diperluaskan untuk merangkumi projek nyahkarbon luar pesisir dan serantau yang dimulakan dari Singapura.
Pemerintah juga boleh mempertimbangkan memperluaskan kategori yang layak menerima RIC, antaranya dengan merangkumi aset tidak ketara dan susut nilai aset sedia ada.
Langkah ini, jika dijalankan, akan memberi lebih peluang kepada perniagaan untuk memperbesarkan projek bermanfaat, kata Cik Yvaine Gan, Ketua Insentif Pelaburan Global dan Inovasi Deloitte Singapura.
Firma itu juga mencadangkan supaya kadar sokongan dinaikkan hingga 70 peratus, dan membenarkan RIC digunakan untuk menampung cukai lain yang perlu dibayar perniagaan selain cukai pendapatan korporat – seperti cukai hartanah dan cukai karbon.
Deloitte turut mencadangkan agar RIC mempunyai komponen berasaskan jumlah, dengan kredit yang dikembalikan setara dengan jumlah pengeluaran. Ini akan memastikan ia boleh disesuaikan dengan pelbagai model perniagaan, tambah Cik Gan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg