TOKYO: Pasaran saham Asia jatuh pada 11 April apabila perang dagangan yang semakin memuncak antara dua ekonomi terbesar dunia menyaksikan penjualan terburu-buru aset Amerika Syarikat berikutan meningkatnya kebimbangan akan terjadi kemelesetan.
Indeks Nikkei Jepun turun 3.8 peratus, setelah melonjak 9.1 peratus pada 10 April selepas Presiden Amerika, Encik Donald Trump, menghentikan buat sementara tarif ke atas banyak negara selama 90 hari.
Kospi Korea Selatan jatuh 0.9 peratus dan ASX200 Australia kehilangan 1.4 peratus, tetapi indeks TAEIX Taiwan meningkat 1.5 peratus, membalikkan penurunan 2.5 peratus.
Saham Singapura tidak terkecuali dengan Indeks Straits Times (STI) turun 2.1 peratus pada dagangan tengah hari, selepas jatuh 3.1 peratus tidak lama sebaik sahaja dagangan bermula.
Saham China sebelum ini memutuskan rentetan kemenangan berturut-turut tiga hari selepas Amerika berkata tarifnya ke atas China naik kepada 145 peratus – satu jumlah yang mengejutkan.
Shanghai Composite kemudian naik 0.1 peratus apabila pedagang memberi tumpuan kepada kemungkinan Beijing mengambil langkah rangsangan. Indeks Hang Seng Hong Kong meningkat 0.6 peratus.
Dolar Amerika melanjutkan kerugian selepas Dollar Spot Index Bloomberg jatuh 1.5 peratus semalaman – kejatuhan terbesarnya dalam tiga tahun.
Keyakinan yang berkurang dalam ekonomi Amerika mendorong para pelabur melepaskan aset Amerika untuk mendapatkan aset selamat seperti franc Swiss, yen dan euro, serta emas.
Mata wang Amerika turun 1.2 peratus kepada 0.81405 franc Swiss buat kali pertama sejak Januari 2015, melanjutkan kejatuhan hampir 4 peratus hari sebelumnya. Ia susut 0.9 peratus kepada 143.10 yen – paras paling lemah sejak 1 Oktober.
Euro melonjak 1.7 peratus kepada AS$1.13855, ke paras yang terakhir dilihat pada Februari 2022.
Dolar Amerika juga lemah berbanding dolar Singapura, dengan dagangan turun 0.3 peratus kepada 1.3265 pada 12.13 tengah hari waktu Singapura.
Dolar Singapura telah meningkat kira-kira 3 peratus berbanding dolar Amerika pada 2025.
Tarif dijangka meningkatkan dolar Amerika, tetapi sebaliknya mata wang itu telah jatuh lebih 7 peratus sejak pelantikan Encik Trump pada Januari, dan lebih 2 peratus sejak beliau mengumumkan tarif global pada 2 April.
Penurunan dolar Amerika itu berlaku bersama-sama dengan penjualan saham dan bon Amerika apabila pelabur asing bertindak balas terhadap dasar perlindungan Encik Trump dengan melepaskan aset Amerika di tengah-tengah kebimbangan kemelesetan yang semakin meningkat.
Semalaman, Indeks S&P 500 Amerika menjunam 3.5 peratus apabila pelabur merebut lantunan pasaran bersejarah pada 9 April itu untuk menjual saham.
Untuk menunjukkan bagaimana pasaran menjadi tidak menentu sejak Encik Trump mengumumkan rancangannya mengenakan tarif hukuman ke atas berpuluh-puluh rakan dagangan Amerika, putaran S&P 500 dalam dua sesi dagangan yang lalu telah menyaingi apa yang dicetuskan oleh pandemik Covid-19 dan krisis kewangan 2008.
Langkah itu, pada akhirnya, menjurus ke arah pengakhiran yang sama: pelancaran tarif Encik Trump yang kacau-bilau – tidak kira di mana kesannya akan melanda – dengan cepat menjejas keyakinan dalam ekonomi Amerika dan mengancam akan menjadikan pasaran berada dalam kebimbangan buat tiga bulan akan datang, sementara pedagang menunggu untuk melihat hasilnya.
Kebimbangan itu menunjukkan betapa sentimen telah berubah dalam tempoh kurang tiga bulan Encik Trump memulakan penggal keduanya, yang pernah dianggap Wall Street akan memacu kenaikan pasaran saham dengan memotong cukai, mengurangkan peraturan dan memacu pertumbuhan ekonomi.
Tetapi jangkaan itu telah berubah dengan pantas apabila Encik Trump bertindak untuk memecat puluhan ribu kakitangan, menahan bantuan persekutuan dan bergerak untuk melakar semula peraturan perdagangan global secara bersendirian demi kepentingan Amerika.
Sementara itu, perang perdagangan masih mengancam untuk memecahkan talian bekalan, mengurangkan perdagangan rentas sempadan dan memberikan satu lagi kejutan inflasi kepada pengguna Amerika apabila import menjadi lebih mahal.
Semua itu menyebabkan Wall Street semakin bimbang ekonomi akan terhenti. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg