Dolar S’pura cecah paras tertinggi 11 tahun berbanding dolar AS
Dolar S’pura cecah paras tertinggi 11 tahun berbanding dolar AS
Dolar Singapura meningkat ke paras tertinggi berbanding dolar Amerika Syarikat pada 26 Januari, mencatat prestasi paling kukuh sejak akhir 2014.
Dolar Amerika turun kepada 1.2679 dolar Singapura pada waktu dagangan 10.40 pagi, 26 Januari. Dolar Singapura pula mengukuh kepada sekitar 0.7887 berbanding dolar Amerika.
Pada sekitar 1.13 petang, nilai AS$1 naik sedikit kepada $1.2685, manakala $1 bersamaan AS$0.7883.
Pada sekitar 5.30 petang waktu tempatan pula, satu dolar Amerika pulih sedikit kepada 1.27 dolar Singapura, manakala satu dolar Singapura kekal sekitar 0.79 dolar Amerika.
Dolar Amerika berdepan tekanan baru berikutan khabar angin pasaran bahawa negara itu mungkin bekerjasama dengan Jepun dalam campur tangan mata wang.
Desas-desus mengenai campur tangan itu menjejas dolar Amerika, sekali gus menurunkan indeks dolar Amerika kepada 97.09 pada 11.15 pagi.
Dolar Amerika mencatat penurunan mingguan terburuk minggu lalu sejak Mei 2025, didorong oleh tindakan mengejut Presiden Amerika, Encik Donald Trump, yang mengeluarkan ancaman tarif ke atas Kesatuan Eropah (EU) berkaitan Greenland.
Selain itu, penurunan mendadak nilai mata wang Amerika dan Jepun berikutan dakwaan campur tangan mata wang itu turut mengakibatkan peningkatan dalam aktiviti penjualan dolar Amerika di pasaran, menurut penganalisis DBS dalam satu kenyataan pada 26 Januari.
Pada 25 Januari, Perdana Menteri Jepun, Encik Sanae Takaichi, ditanya mengenai kelemahan pasaran bon kerajaan Jepun dan mata wang yen dalam satu program bual bicara.
Beliau berkata kerajaan Jepun akan “mengambil langkah yang diperlukan terhadap pergerakan pasaran spekulatif atau tidak normal”.
“Namun, tiada pengesahan mengenai campur tangan sebenar, yang mungkin mengehadkan penurunan lanjut dalam mata wang Amerika dan Jepun,” kata penganalisis DBS.
Penganalisis menjangkakan Lembaga Simpanan Federal (Fed) Amerika akan mengekalkan kadar faedah pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan yang bakal diadakan pada 27 dan 28 Januari, susulan langkah pemotongan kadar faedah tiga kali berturut-turut.
Sementara itu, penganalisis UOB dalam satu kenyataan mengenai mata wang Amerika dan Singapura pula berkata:
“Kami tidak menjangkakan penjualan mendadak yang membawa dolar Amerika jatuh ke paras rendah 1.2715. Nilai dolar Amerika terus menurun pada pembukaan pasaran hari ini (26 Januari).
“Momentum penurunan yang pantas menunjukkan kemungkinan kelemahan berterusan dolar Amerika, namun keadaan terlebih jual yang ketara mungkin mengehadkan penurunan sekitar paras 1.2675 (dolar Singapura).”
Penguasa Kewangan Singapura (MAS) berada dalam kedudukan “selesa” untuk mengekalkan dasar pengukuhan semasa, dan dijangka mengekalkan tetapan kadar pertukaran sedia ada pada semakan 29 Januari, menurut penganalisis Maybank dalam satu kenyataan pada 26 Januari.
“MAS sepatutnya berada dalam kedudukan yang agak selesa (berbanding Fed) untuk mengekalkan pendirian dasar semasa iaitu pengukuhan sedikit (0.5 peratus setahun), yang dijangka menyokong dolar Singapura,” kata penganalisis Maybank.

