TOKYO: Mata wang yen terus jatuh ke paras rekod terendah berbanding dolar Singapura menyusuli khabar angin Perdana Menteri Jepun, Cik Sanae Takaichi, mungkin mengadakan pilihan raya mengejut dalam masa terdekat.
Kadar tukaran mata wang yen berbanding dolar Singapura melepasi paras 123 buat kali pertama pada 13 Januari.
Ia merosot ke paras 123 bagi setiap dolar Singapura pada 5.04 petang waktu Singapura, turun 0.4 peratus berbanding penutupan hari sebelumnya.
Mata wang Jepun itu, yang susut 5.4 peratus berbanding dolar Singapura pada 2025, terus melemah sebanyak 1.3 peratus pada 2026 setakat ini.
Berbanding dolar Amerika Syarikat, yen mencecah paras terlemah sejak Julai 2024.
Mata wang Jepun itu merosot sehingga 0.5 peratus kepada 158.91 bagi setiap dolar Amerika, melepasi paras terendah sebelumnya iaitu 158.87 pada Januari 2025.
Sementara itu, indeks saham Nikkei melonjak hingga 3.6 peratus selepas media tempatan melaporkan Cik Takaichi merancang membubarkan Parlimen apabila ia bersidang semula pada 23 Januari, sekali gus membuka laluan kepada pilihan raya umum seawal 8 Februari.
Dengan populariti Cik Takaichi yang sedang meningkat, langkah pilihan raya itu dijangka boleh mengukuhkan lagi kedudukannya dan memberi nafas baru kepada apa yang dikenali sebagai “dagangan Takaichi”, yang telah menyumbang kepada kerugian bon dan kelemahan mata wang Jepun.
Yen merupakan mata wang berprestasi terburuk dalam kalangan rakan setara Kumpulan 10 (G10) pada 2025, dengan kenaikan hanya 0.3 peratus berbanding dolar Amerika.
Sesetengah pemerhati yen menjangkakan mata wang itu akan melemah ke paras 160 bagi setiap dolar Amerika atau lebih rendah menjelang akhir 2026, didorong oleh jurang hasil Amerika-Jepun yang masih luas, kadar faedah sebenar yang negatif serta aliran keluar modal yang berterusan.
Pegawai Jepun, termasuk Menteri Kewangan, Cik Satsuki Katayama, telah meningkatkan amaran terhadap apa yang mereka sifatkan sebagai pergerakan tukaran asing yang berlebihan dan bersifat spekulatif.
Beliau dan Setiausaha Perbendaharaan Amerika, Encik Scott Bessent, turut berkongsi kebimbangan mengenai kelemahan yen semasa mesyuarat dua hala di Washington.
Risiko campur tangan rasmi juga kembali menjadi tumpuan.
Kementerian Kewangan Jepun kali terakhir campur tangan dalam pasaran mata wang pada 12 Julai 2024, apabila dolar-yen mencecah paras tertinggi harian iaitu 159.45.
Ia turut campur tangan tiga kali lagi pada tahun tersebut apabila paras tertinggi harian mencapai 161.76, 160.17 dan 157.99.
Para pegawai telah memberi isyarat mereka lebih bimbang terhadap turun naik dan kelajuan pergerakan harga, berbanding paras tertentu.
Di Jepun, keputusan campur tangan dibuat oleh Kementerian Kewangan dan dilaksanakan oleh Bank of Japan melalui beberapa bank perniagaan.
Kerajaan Jepun lazimnya menjual dolar bagi mengukuhkan yen dalam pasaran mata wang. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg