Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

DPM Gan: Asia boleh menyerlah di tengah ketidaktentuan sejagat

Rantau ini mesti tawarkan kestabilan, keterbukaan dan keterangkuman sebagai nilai cadangan berbeza
Sep 11, 2025 | 3:34 PM
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, menyampaikan ucaptama di Forum Visi Baru Asia 2025 pada 11 September.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, menyampaikan ucaptama di Forum Visi Baru Asia 2025 pada 11 September. - Foto ZAOBAO

Di tengah ketidaktentuan yang semakin memuncak, Asia boleh menyerlah dengan menawarkan “nilai cadangan yang berbeza”, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, pada 11 September.

Beliau menegaskan bahawa dunia kini berdepan persaingan strategi yang semakin meningkat, perlindungan perdagangan yang kian mendalam serta ancaman terhadap kepentingan sejagat daripada peraturan perdagangan hingga kepada kerjasama iklim. 

“Namun, di sebalik ketidaktentuan ini, Asia mempunyai peluang untuk menonjol,” jelas Encik Gan.

Beliau, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan, menyampaikan ucaptama pada Forum Visi Baru Asia 2025, lapor The Business Times (BT).

Forum bertema ‘Charting the Future Amid Uncertainty’ (Merangka Masa Depan di Tengah Ketidaktentuan) itu dianjurkan oleh agensi berita China, Caixin Global, di resort mesra alam Mandai Rainforest Resort by Banyan Tree.

Forum tersebut berlangsung dari 11 hingga 13 September.

Dengan asas yang kukuh, Asia berpotensi muncul sebagai salah satu rantau yang paling pesat membangun di dunia, kata Encik Gan.

“Namun untuk merealisasikan potensi pertumbuhannya dalam dunia yang berpecah-belah, Asia mesti menjadi sebuah rantau yang mampu menawarkan kestabilan, keterbukaan dan keterangkuman,” tambah Encik Gan.

Bagi memastikan pertumbuhan dapat dicapai, Asia mesti terus memelihara keamanan dan kestabilan rantau tersebut.

Meskipun konflik bersenjata di seluruh dunia mengorbankan nyawa, menjejas mata pencarian dan rantaian bekalan, Asia secara umumnya masih mengekalkan keamanan meskipun rantau ini turut berdepan ketegangan dan pertikaian, kata Encik Gan.

Ini adalah faktor utama yang mendorong kebangkitan ekonomi Asia, membolehkan negara-negara memberi tumpuan kepada pertumbuhan, menarik pelaburan dan membina rantaian bekalan rentas sempadan yang berdaya tahan.

Namun, Encik Gan menegaskan bahawa pertembungan tetap akan berlaku dari semasa ke semasa. 

“Justeru, amat penting untuk kita terus memastikan saluran dialog terbuka, mengambil sikap berhemah apabila konflik timbul, dan memperkukuh rangka kerja serantau yang dapat membantu kita mengurus perbezaan,” katanya.

Kedua, Asia mesti terus mengukuhkan semangat serantau dan persepaduan ekonomi, meskipun negara-negara lain mengutamakan kepentingan masing-masing.

Salah satu perjanjian perdagangan yang mengukuhkan semangat ini ialah Perjanjian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP), yang menghapuskan halangan tarif bagi kebanyakan produk dan memperkenalkan peraturan asal-usul perdagangan yang diseragamkan.

RCEP kini merangkumi 10 negara anggota Asean dan lima rakan dagangan – iaitu Australia, China, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand – yang mewakili kira-kira sepertiga daripada Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP), eksport dan penduduk dunia.

Keanggotaan perjanjian itu boleh diperluas, kata Encik Gan.

“Oleh itu, kami mengalu-alukan minat Bangladesh, Chile, Hong Kong dan Sri Lanka untuk menyertai RCEP, serta ekonomi lain yang mampu memenuhi syarat-syaratnya.”

“Dengan integrasi ekonomi serantau yang lebih kukuh, kita dapat memanfaatkan kelebihan perbandingan ekonomi kita yang pelbagai untuk menawarkan nilai cadangan yang menarik kepada perniagaan dan pelabur,” tambah Encik Gan.

Selain itu, Asia boleh menjadi contoh rantau dengan kerjasama yang terangkum dan maju.

Kepelbagaian rantau ini tidak seharusnya menjadi halangan kepada kerjasama dan persepaduan, sebaliknya menjadi sumber kekuatan dan daya tahan, kata Encik Gan.

Sebagai contoh, dalam langkah peralihan rendah karbon, negara-negara mempunyai tanggungjawab sama, tetapi berdepan cabaran dan kemampuan berbeza. 

Sesetengah negara mempunyai sumber tenaga boleh diperbaharui yang banyak dan boleh beralih dengan pantas, manakala negara lain memerlukan masa untuk membina prasarana dan mendapatkan pembiayaan.

Prinsip “tanggungjawab bersama tetapi berbeza” membolehkan Asia bergerak ke arah matlamat yang sama untuk masa depan mampan, melalui laluan berbeza-beza.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg