Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura perlu waspada kesan sampingan tarif AS pada dagangan, pelaburan

DPM Gan: Negara terjejas mungkin sesuaikan dengan rakan ekonomi lain
Aug 25, 2025 | 6:08 PM
Singapura, Timbalan Perdana Menteri, Gan Kim Yong, tarif, Amerika Syarikat, Amerika, perdagangan, pelaburan
Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan, berucap di Dialog Ekonomi 2025 Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) yang diadakan di Universiti Pengurusan Singapura (SMU) pada 25 Ogos. - Foto ST

Singapura perlu memantau kesan sampingan daripada tarif Amerika Syarikat meskipun sedang negara ini membuat penyesuaian dan mengambil langkah untuk mengurangkan kesan tarif tersebut, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong.

Ini kerana negara-negara yang terjejas dengan tarif tersebut mungkin akan menyesuaikan perdagangan dan pelaburan mereka dengan rakan ekonomi yang lain.

Contohnya, sesebuah negara yang kini membeli lebih banyak produk pertanian, seperti beras dan kacang soya, dari Amerika, mungkin akan memutuskan untuk mengurangkan pembelian produk daripada rakan dagangannya yang lain.

“Negara yang telah mengikrarkan komitmen pelaburan di Amerika mungkin memutuskan untuk mengurangkan pelaburan mereka di bahagian lain di dunia.

“Syarikat juga kemungkinan menilai semula rancangan jangka panjang mereka sebagai respons kepada tarif baru,” kata Encik Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan.

Misalnya, syarikat mungkin memutuskan untuk menyusun semula rantaian pengeluaran dan bekalan mereka untuk memanfaatkan tahap tarif lebih rendah yang dikenakan terhadap pasaran tertentu bagi eksport mereka kepada Amerika.

Ini selain mengambil keputusan untuk mempelbagaikan pasaran dan rantaian bekalan mereka, tambah Encik Gan ketika berucap di Dialog Ekonomi 2025 Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), yang diadakan di Universiti Pengurusan Singapura (SMU) pada 25 Ogos.

Dengan itu, Encik Gan berkata ahli ekonomi memainkan peranan penting dalam memberikan analisis yang teliti dan berdasarkan bukti serta pandangan asas kepada penggubal dasar.

Ini sedang Singapura melakarkan fasa transformasi ekonomi yang seterusnya.

Beliau menambah bahawa ahli ekonomi membantu Singapura kekal di kedudukan terbaik menerusi analisis mengenai perubahan struktur dalam ekonomi sejagat.

Antaranya seperti peralihan dalam aliran pelaburan dan perdagangan.

“Tugas ahli ekonomi juga membantu penggubal dasar mengenal pasti bidang peluang dan membimbing penggubalan dasar serta program kami untuk membolehkan kita merebut peluang ini.

“Ini boleh membantu kita ..... dalam pembangunan industri, transformasi perusahaan dan peningkatan kemahiran tenaga kerja kita.

“Dengan menilai kesan dasar dan program, ahli ekonomi membantu penggubal dasar memahami kesan dunia sebenar dan tindakan mereka, dan membimbing mereka dalam menentukur langkah-langkah mereka dalam mencapai hasil yang betul,” kata beliau.

Pasukan Petugas Daya Tahan Ekonomi Singapura (Sert), yang dipengerusikan Encik Gan, pada 4 Ogos telah mengumumkan bahawa pemerintah akan memulakan langkah menyemak strategi ekonomi Singapura, dengan lima jawatankuasa baru dibentuk bagi menetapkan hala tuju jangka panjang ekonomi negara.

Ini termasuk dalam bidang daya saing sejagat, teknologi dan inovasi, keusahawanan, modal insan, serta mengendalikan kesan penyusunan semula.

Encik Gan menambah bahawa semakan strategi ekonomi itu juga akan mengkaji cara Singapura boleh mengharungi peralihan struktur, misalnya teknologi seperti kecerdasan buatan (AI).

Dengan perkembangan pesat dalam AI, digabungkan dengan automasi dan robotik, Encik Gan berkata usaha perlu dilakukan untuk menggalak syarikat melabur dalam kes penggunaan AI praktikal yang akan membantu mereka meningkatkan produktiviti, mempercepatkan masa ke pasaran, dan memacu penciptaan produk dan perkhidmatan nilai tambah baru.

Pada masa sama, Encik Gan berkata negara ini juga perlu secara proaktif mengenal pasti peranan kerja yang akan terjejas oleh AI.

Ini supaya pemerintah dapat menyasarkan langkah campur tangan peningkatan kemahiran untuk membantu pekerja beralih ke pekerjaan nilai lebih tinggi yang didayakan oleh AI.

Beliau memberi contoh Program Peningkatan SkillsFuture yang diperkenalkan pada 2024, untuk menggalak dan menyokong rakyat Singapura pertengahan kerjaya mempertingkat kemahiran mereka.

“Sedang kita mengembangkan ekonomi, kita perlu memastikan bahawa manfaat dan peluangnya dikongsi; jika tidak, kemajuan ekonomi boleh memecahbelahkan.

“Ini terutamanya jika masyarakat kita menjadi menjadi lebih berstrata dan kurang mobiliti, yang mungkin bukan sahaja mengukuhkan kekurangan yang dihadapi golongan kurang mampu, tetapi juga kelebihan yang dihadapi golongan lebih berada,” kata beliau.

“Negara yang telah mengikrarkan komitmen pelaburan di Amerika mungkin memutuskan untuk mengurangkan pelaburan mereka di bahagian lain di dunia. Syarikat juga kemungkinan menilai semula rancangan jangka panjang mereka sebagai respons kepada tarif baru.” 
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg