Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua lagi kaedah e-bayar dilancar pertengahan 2025 ganti guna cek

Sistem pembayaran tertunda elektronik EDP dan EDP+ diperkenal melalui wadah perbankan digital 7 bank
Dec 5, 2024 | 4:14 PM
Tiada perubahan pada tarikh akhir bagi bank untuk berhenti mengeluarkan buku cek baru kepada syarikat menjelang akhir Disember 2025.
Tiada perubahan pada tarikh akhir bagi bank untuk berhenti mengeluarkan buku cek baru kepada syarikat menjelang akhir Disember 2025. - Foto UNSPLASH

Pengguna cek runcit dan korporat akan mempunyai dua kaedah pembayaran elektronik baru sebagai sebahagian daripada langkah Singapura menghentikan penggunaan cek secara berperingkat.

Mulai pertengahan 2025, mereka boleh menggunakan sistem pembayaran tertunda elektronik EDP dan EDP+ untuk berbuat demikian, kata Persatuan Bank Singapura (ABS) dan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada 5 Disember.

EDP ​​dan EDP+ akan tersedia melalui wadah perbankan digital tujuh bank, iaitu DBS, OCBC, UOB, Citibank, HSBC, Maybank dan Standard Chartered Bank, lapor The Straits Times.

Perbezaan utama antara EDP dengan EDP+ terletak pada waktu dana dipotong daripada akaun pembayar.

Untuk EDP, dana dipotong semasa permohonan dikemukakan oleh penerima, manakala untuk EDP+, dana dipotong serta-merta selepas permohonan dikeluarkan.

MAS dan ABS berkata EDP akan menangani keperluan pembayaran tertunda – yang kini menggunakan cek tarikh hadapan atau post-dated cheque.

EDP+ ialah variasi EDP yang memberi kepastian pembayaran yang lebih besar, seperti cek perintah juruwang (cashier’s order) sekarang.

Kaedah e-pembayaran baru itu akan melengkapkan rangkaian mod e-bayar sedia ada Singapura, termasuk PayNow, Fast (Fast And Secure Transfers), Giro dan MEPS+ (Sistem Bayaran Elektronik MAS).

Kaedah itu akan menggunakan PayNow untuk membolehkan pembayar mengenal pasti penerima dengan mudah semasa membuat pembayaran.

Bagi memberi syarikat dan pertubuhan lain masa yang mencukupi untuk menerima pakai kaedah e-pembayaran baru, MAS dan ABS turut mengumumkan lanjutan setahun bagi tarikh akhir untuk menghentikan pemprosesan cek korporat hingga akhir Disember 2026.

Bagaimanapun, tiada perubahan pada tarikh akhir bagi bank untuk berhenti mengeluarkan buku cek baru kepada syarikat menjelang akhir Disember 2025.

MAS menggesa penerima cek korporat supaya mengemukakan cek mereka untuk penjelasan lebih awal sebelum 31 Disember 2026, bagi memastikan cek mereka dapat diproses sebelum tarikh akhir.

Cek runcit akan terus tersedia. Ini juga terpakai pada cek perintah juruwang dan cek dolar Amerika Syarikat untuk pelanggan korporat dan runcit.

Warga emas yang berumur 60 tahun ke atas pada akhir Disember 2025 kekal layak untuk pengecualian bayaran perkhidmatan cek selepas 31 Disember 2025.

Tujuh bank tersebut akan berbuat demikian untuk memberikan lebih masa kepada warga emas beralih kepada pembayaran elektronik.

MAS berkata butiran pelan peralihan daripada cek kepada e-pembayaran boleh didapati dalam kertas perundingan awamnya yang dikeluarkan pada 5 Disember.

Pihak yang berminat boleh mengemukakan maklum balas mereka selewat-lewatnya pada 17 Januari, 2025.

Perkembangan itu berlaku lebih setahun selepas MAS mengumumkan pada Julai 2023 bahawa semua bank akan berhenti mengeluarkan buku cek baru kepada syarikat korporat.

Keputusan menghentikan penggunaan buku cek dibuat kerana bilangan pengguna telah berkurang sejak sekian lama.

Jumlah cek dianggarkan di bawah sembilan juta pada 2024, turun daripada 13.8 juta pada 2023.

Sementara itu, kos penjelasan cek pusat telah meningkat kepada $1 sekarang, naik daripada 10 sen pada 2016.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg