Dua penunggang motosikal dikejarkan ke hospital pada 26 Mei selepas satu kemalangan – yang terkini dalam satu siri kemalangan – berhampiran Pusat Pemeriksaan Woodlands.
Menurut polis, mereka dimaklumkan mengenai satu kemalangan melibatkan dua motosikal di Ekspreswe Bukit Timah (BKE) menghala ke Ekspreswe Rentas Pulau (PIE) sekitar 8.10 pagi.
Dua penunggang motosikal lelaki berusia 22 tahun dan 24 tahun itu dibawa ke hospital dalam keadaan sedar.
Siasatan polis masih dijalankan.
Satu rakaman video yang diambil selepas kemalangan tersebut yang tersebar di media sosial, menunjukkan dua motosikal terbalik di lorong tengah ekspreswe tersebut.
Manakala, satu lagi motosikal, diletakkan berhampiran dua motosikal yang terbalik itu.
Kededua penunggang motosikal itu tidak kelihatan dalam video tersebut, lapor The Straits Times (ST).
Kemalangan pada 26 Mei itu adalah yang terbaru dalam satu siri kemalangan berhampiran Pusat Pemeriksaan Woodlands sejak beberapa bulan lalu untuk kededua hala, baik keluar atau menuju ke Singapura.
Pada 24 Mei, sebuah kereta yang menuju ke Johor Bahru bertembung dengan bas Causeway Link yang menuju ke Singapura, di Woodlands Crossing menghala ke Koswe.
Kemalangan yang berlaku sekitar 5.30 pagi itu menyebabkan pemandu kereta terbabit dan tiga penumpang dibawa ke hospital dan lorong jalan raya berkenaan ditutup sekitar tiga jam, menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA).
Kemalangan tersebut berlaku pada pagi Sabtu ketika trafik di Koswe biasanya sesak.
Dalam satu lagi kemalangan berasingan pada 5 April, seorang penunggang motosikal dibawa ke hospital selepas motosikalnya bertembung dengan sebuah kereta sekitar 4 petang di BKE menghala ke Pusat Pemeriksaan Woodlands.
Pemandu kereta tersebut telah dipanggil polis untuk membantu siasatan.
Satu lagi kemalangan pada pagi 29 November 2024, mengakibatkan 17 orang dibawa ke hospital, menyusuli satu kemalangan berbilang kenderaan di BKE, melibatkan beberapa lori dan kereta, dalam perjalanan menuju ke Pusat Pemeriksaan Woodlands.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg