Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua syarikat tersenarai S’pura minat labur dalam JS-SEZ

Pelaburan akan sumbang kepada perkembangan 11 sektor terutama ekon hijau, perkilangan, logistik, jagaan kesihatan
May 19, 2025 | 7:53 PM
Thomson Medical Group dan Centurion Corporation telah melahirkan minat untuk melabur dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), menurut Maybank.
Thomson Medical Group dan Centurion Corporation telah melahirkan minat untuk melabur dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), menurut Maybank. - Foto ZAOBAO

Dua syarikat tersenarai Singapura, Thomson Medical Group dan Centurion Corporation telah melahirkan minat untuk melabur dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), menurut Maybank pada 19 Mei.

Kededua syarikat tersebut adalah antara tiga pelanggan Maybank beribu pejabat di Singapura, yang telah menyerahkan Surat Hasrat (LOI) kepada Penguasa Wilayah Pembangunan Iskandar (Irda), menurut Maybank semasa acara Dialog Rakan Kongsi JS-SEZ yang dihoskan Kementerian Ekonomi Malaysia.

Syarikat ketiga – Alpine Renewable and Edible Oils, pembekal bahan mentah kepada pengeluar bahan api biologi di Eropah, China, Korea Selatan dan Amerika Syarikat – turut menunjukkan minat untuk menubuhkan kemudahan di JS-SEZ.

LOI tersebut menunjukkan minat pelaburan gabungan sehingga RM2.35 bilion ($709.5 juta) dalam tempoh tiga hingga 10 tahun akan datang.

Ia “menunjukkan keyakinan terhadap nilai strategik JS-SEZ”, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Maybank, Dato’ Khairussaleh Ramli.

Menurut Maybank, pelaburan tersebut akan menyumbang kepada perkembangan 11 sektor ekonomi JS-SEZ, terutamanya dalam ekonomi hijau, perkilangan, logistik dan penjagaan kesihatan.

Ia juga selaras dengan aspirasi Ekonomi Madani bagi mewujudkan enjin pertumbuhan baru, di samping menambah pekerjaan bernilai tinggi, lapor The Business Times.

Selain memudahkan penyerahan LOI daripada pelanggannya di Singapura, bank tersebut menandatangani LOI dengan Kementerian Ekonomi Malaysia, yang menyatakan minat menjalin usaha bersama dalam mempromosikan JS-SEZ.

Maybank turut melancarkan beberapa inisiatif untuk meletakkan zon tersebut sebagai sebuah hab serantau, termasuk mengukuhkan ekosistem tempatan dengan meningkatkan kemahiran perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam bidang rantaian bekalan dan kemudahan halal, kata Dato’ Khairussaleh.

Ia turut menyokong pelanggan dalam sektor strategik seperti pusat data, prasarana dan semikonduktor, serta membantu dalam mendapatkan kelulusan bagi pejabat keluarga tunggal yang pertama di Malaysia, dan di Zon Kewangan Khas Forest City, tambah beliau.

Centurion, pemilik dan pengurus penginapan pekerja dan pelajar di peringkat sejagat, telah menyatakan minat melabur RM300 juta hingga RM500 juta sepanjang lima tahun akan datang bagi menggandakan kapasiti katilnya di JS-SEZ.

Syarikat penjagaan kesihatan Thomson Medical pula menunjukkan “minat kukuh” untuk melabur sehingga RM1.5 bilion sepanjang 10 tahun akan datang untuk membangunkan Hospital Thomson Iskandariah di tapak seluas 1.5 hektar di Stulang, Iskandar.

Hospital tersebut dijangka mewujudkan sekitar 1,500 pekerjaan dalam bidang klinikal, penyelidikan, perkhidmatan doktor pakar, dan perkhidmatan sokongan seperti teknologi penjagaan kesihatan, kata Maybank.

Bagi syarikat Alpine Renewables and Edible Oils, ia merancang melabur sekitar RM350 juta dalam tiga tahun akan datang untuk membangunkan kemudahan prarawatan bahan mentah tenaga boleh diperbaharui.

Selain itu, ia merancang membina kemudahan penapisan bahan api biologi boleh diperbaharui di Pelabuhan Perindustrian Tanjong Langsat, bagi memenuhi permintaan bahan api biologi manpan, yang dijangka meningkat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg