KUALA LUMPUR: Malaysia sedang bekerjasama dengan institusi kewangan untuk mendorong pelaburan dan sokongan pembiayaan bagi zon ekonomi khas (SEZ) di Johor, kata Menteri Ekonomi, Encik Rafizi Ramli pada 19 Mei.
Kehadiran bank-bank itu adalah penting untuk merangsang penyertaan sektor privet dengan mengumpulkan modal dan perdagangan, kata Encik Rafizi semasa dialog Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), yang bertujuan memperkukuh hubungan strategik antara kerajaan, bank, dan pelabur.
Pelan induk untuk zon yang bersempadan dengan Singapura akan dilancarkan pada akhir 2025, kata Encik Rafizi, sambil menambah: “Ia akan menjadi peta jalan yang merangka visi jangka panjang, aspirasi strategik, dan peluang pelaburan.”
Surat Hasrat (LOI) telah ditandatangani dengan Bank of America, HSBC, Sumitomo Mitsui Banking Corp, CGS International Securities, Maybank, dan CIMB Bank, kata beliau, sambil perbincangan masih diteruskan dengan sebuah bank yang berpangkalan di Eropah.
Beliau tidak memberikan butiran mengenai perjanjian atau komitmen kewangan tersebut.
Malaysia dan Singapura menubuhkan zon ekonomi khas itu pada Januari, dengan matlamat untuk meningkatkan pelaburan dan memudahkan pergerakan barang dan orang antara kededua negara.
Malaysia telah meletakkan sasaran untuk 50 projek dalam zon tersebut dalam tempoh lima tahun pertama, bersama dengan penambahan 20,000 pekerjaan berkemahiran.
Ia akan menubuhkan dan menguruskan dana infrastruktur untuk menyokong syarikat yang ingin beroperasi di zon tersebut.
Manakala Singapura pula akan menubuhkan dana sendiri untuk melicinkan pelaburan dan menyokong syarikat dari republik itu yang beroperasi di sana.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang turut hadir berkata pelaburan yang diluluskan bernilai RM27.4 bilion ($8.3 bilion) pada suku pertama 2025, dengan tambahan RM23 bilion lagi dalam perancangan.
“Jika angka-angka ini kekal, kami percaya jumlah pelaburan di Johor pada 2025 akan melebihi RM50 bilion hingga RM60 bilion, mengatasi RM48.5 bilion pada 2024,” katanya. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg