Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua usaha baru mudahkan majikan iktiraf kemahiran pekerja

Aug 21, 2024 | 6:09 PM
Institut Jurutera Singapura (IES) sedang bekerjasama dengan Politeknik Singapura untuk menubuhkan sebuah pusat penilaian.
Institut Jurutera Singapura (IES) sedang bekerjasama dengan Politeknik Singapura untuk menubuhkan sebuah pusat penilaian. - Foto ZAOBAO

Lebih ramai majikan kini dapat mengiktiraf secara rasmi kemahiran yang diperoleh pekerja mereka melalui latihan dan usaha peningkatan kemahiran pekerja.

Ini menyusuli pelancaran dua daya usaha pengiktirafan kemahiran pada 21 Ogos.

Pertama, Institut Jurutera Singapura (IES) sedang bekerjasama dengan Politeknik Singapura untuk menubuhkan sebuah pusat penilaian.

Pusat tersebut akan membolehkan individu memperoleh pensijilan Pakar Teknologi Kejuruteraan Bertauliah dalam persekitaran terbina dan sektor prasarana melalui pembelajaran di tempat kerja, sebagai tambahan kepada pendekatan yang diambil ketika ini, iaitu latihan dan penilaian.

Dengan itu, pakar teknologi seperti pegawai teknikal akan dapat menamatkan penilaian kecekapan bagi pensijilan ini, dan diiktiraf bagi kemahiran yang mereka peroleh dan tunjukkan dalam tugas mereka, walaupun mereka tidak mempunyai kelayakan akademik rasmi.

Pengumuman itu dibuat semasa Persidangan Modal Insan SkillsFuture pada 21 Ogos, lapor The Business Times (BT).

Menteri Negara (Pendidikan merangkap Tenaga Manusia), Cik Gan Siow Huang, menjadi tetamu terhormat dalam persidangan itu.

Persidangan anjuran Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) yang disokong oleh SkillsFuture Singapura (SSG) dan Institut Pembelajaran Sepanjang Hayat (LLI) itu menandakan berakhirnya Festival SkillsFuture selama enam minggu, yang bermula pada 9 Julai.

Dalam pada itu, satu lagi daya usaha pengiktirafan kemahiran telah dimulakan. Pada 21 Ogos, Institut Karyawan Sumber Manusia (IHRP) melancarkan dua lencana peranan baru dalam pembelajaran di tempat kerja.

Ia dilakukan dengan kerjasama Institut Pembelajaran Dewasa (IAL), Pusat Kecemerlangan Kebangsaan bagi Pembelajaran Dewasa, dan Pusat Kecemerlangan Nasional bagi Pembelajaran Di Tempat Kerja (NACE).

Karyawan sumber manusia dan pengurus kakitangan boleh mendapatkan lencana peranan baru itu melalui laluan pendidikan formal dan kerja sambil belajar.

Dengan meraih lencana tersebut, kemahiran yang diperoleh kemudian boleh dimanfaatkan untuk melaksanakan atau menambah baik sistem pembelajaran di tempat kerja, meningkatkan proses dan peluang pembangunan kerjaya, selain memperkukuh budaya pembelajaran dalam pertubuhan mereka.

Pada persidangan itu, sebuah syarikat SkillsFuture Queen Bee (SFQB) baru turut dilantik, kali ini bagi sektor jualan borong.

FoodXervices, syarikat peneraju industri dalam sektor perniagaan borong yang menyediakan khidmat makanan, akan berkongsi pengalaman syarikat itu dan menyokong rantaian nilainya kepada lebih 4,000 pelanggan korporat, serta syarikat kecil dan sederhana (SME) lain, dalam menerapkan daya usaha kemampanan dan pendigitalan.

Dengan pelantikan itu, sebanyak 36 SFQB dilantik setakat ini.

Diperkenalkan pada 2020, daya usaha SFQB bertujuan menyokong pembangunan kemahiran dan keupayaan tenaga pekerja SME, di samping membantu SME meningkatkan kemampanan dan membangun kemahiran hijau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg