Terdapat banyak sebab syarikat memilih untuk berkembang dan melabur di Singapura, dan ini termasuk kestabilannya, ketersediaan bakat tenaga kerja, serta keselamatan daripada bencana alam, kata Pengarah Urusan Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB), Cik Jacqueline Poh.
Bercakap kepada media pada 6 Februari, Cik Poh berkata banyak syarikat melabur untuk jangka panjang, dan tarif, seperti yang dikenakan oleh Amerika Syarikat, bukan satu-satunya pemacu pelaburan.
“Terdapat banyak sebab syarikat ingin berkembang keluar dari negara mereka, kebanyakannya ada kaitan dengan pertumbuhan atau saiz pasaran domestik mereka.
“Syarikat bertanya kepada kami, ‘Adakah Singapura terdedah kepada gempa bumi?’, apabila membuat keputusan untuk menubuhkan loji semikonduktor. ‘Sejauh manakah kita berdaya tahan terhadap perubahan iklim?’ Inilah soalan-soalan yang kita dapat sekarang.
“Jadi terdapat banyak sebab syarikat memilih untuk membuat keputusan pelaburan, khususnya di Singapura,” kata Cik Poh, sebagai menjawab soalan sama ada tarif oleh Amerika mungkin menjejas pelaburan di Singapura.
Berbanding negara lain, Cik Poh berkata Singapura berada dalam “kedudukan berbeza” dalam hal hubungan perdagangan dengan Amerika kerana Singapura mempunyai defisit perdagangan yang besar dengan Amerika dan membeli lebih banyak daripada negara itu.
Bagaimanapun, ia tidak bermakna Singapura tidak akan terjejas oleh tarif perdagangan, kata Cik Poh, dan ini kerana Singapura merupakan ekonomi terbuka serta sangat bergantung pada perdagangan.
“Jika ada rejim tarif yang meluas dan dasar perlindungan yang digubal oleh pelbagai negara di dunia, ini akan memberi kesan kepada perdagangan global.
“Ia sebenarnya akan memberi kesan kepada pertumbuhan global, dan itu akan memberi kesan kepada persekitaran pelaburan secara umum,” katanya.
Pengerusi EDB, Encik Png Cheong Boon, berkata adalah “terlalu awal” untuk menyatakan sama ada pelaburan Amerika ke Singapura akan terjejas oleh tarif yang dikenakan oleh pentadbiran Presiden Donald Trump.
Beliau berkata syarikat seperti perkilangan membuat pelaburan dengan perspektif jangka sederhana hingga lebih panjang, dan bukan berdasarkan turun naik tahun ke tahun.
Menurut EDB, persekitaran pelaburan pada 2025 dijangka terus mencabar, berikutan halangan ketara daripada ketidaktentuan geopolitik dan makroekonomi, manakala dasar perlindungan akan mempengaruhi keputusan pelaburan syarikat.
Namun, Singapura akan terus mendapat manfaat daripada rangsangan yang timbul daripada pertumbuhan Asia.
Ini kerana ekonomi Asia dijangka berkembang daripada hampir 50 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) dunia hari ini, kepada kira-kira 60 peratus menjelang 2030.
“Integrasi ekonomi yang lebih besar dalam Asia Tenggara akan mempertingkat rantaian bekalan dan meningkatkan kedudukan Singapura sebagai pintu masuk ke rantau yang berkembang pesat dengan demografi yang menggalakkan dan kelas pertengahan yang semakin meningkat,” ujar EDB.
5 pelaburan teratas mengikut industri
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg