Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura peroleh $13.5b pelaburan aset tetap 2024, dijangka cipta 18,700 pekerjaan

EDB: Jumlah pelaburan bertambah 6.3%; sumbangan tambahan $23.5b kepada GDP setiap tahun
Feb 6, 2025 | 4:47 PM
Singapura berjaya memperoleh $13.5 bilion dalam pelaburan aset tetap (FAI) pada 2024, naik 6.3 peratus berbanding $12.7 bilion pada 2023 meskipun ia berdepan dengan persekitaran global yang lebih mencabar dan tidak menentu.
Singapura berjaya memperoleh $13.5 bilion dalam pelaburan aset tetap (FAI) pada 2024, naik 6.3 peratus berbanding $12.7 bilion pada 2023 meskipun ia berdepan dengan persekitaran global yang lebih mencabar dan tidak menentu. - Foto ZAOBAO

Singapura memperoleh pelaburan aset tetap (FAI) berjumlah $13.5 bilion pada 2024, naik 6.3 peratus daripada $12.7 bilion pada 2023, kata Pengarah Urusan Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB), Cik Jacqueline Poh.

Ini walaupun negara ini berdepan dengan persekitaran global yang lebih mencabar dan tidak menentu, ujar beliau.

Sebanyak $8.4 bilion jumlah perbelanjaan perniagaan keseluruhan (TBE) juga diperoleh pada 2024, namun jumlah ini rendah sedikit daripada $8.9 bilion yang diperoleh pada 2023.

Kemerosotan itu disebabkan ketidaktentuan makroekonomi dan persaingan global yang semakin meningkat bagi pelaburan.

FAI merujuk kepada pelaburan modal tambahan syarikat dalam kemudahan, peralatan dan mesin di negara yang menerima pelaburan itu, manakala TBE merujuk kepada perbelanjaan operasi tahunan tambahan syarikat, seperti gaji pekerja dan sewa, tidak termasuk susut nilai.

Bercakap kepada media pada 6 Februari, Cik Poh berkata komitmen itu dijangka mewujudkan 18,700 pekerjaan dengan unjuran sumbangan tambahan langsung sebanyak $23.5 bilion kepada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) Singapura setiap tahun.

“Ini melebihi matlamat jangka masa sederhana kami.

“Matlamat utama kami ialah mewujudkan pekerjaan yang baik bagi rakyat Singapura, bukan sekadar mewujudkan banyak pekerjaan yang mungkin tidak dapat diisi oleh pekerja Singapura.

“Ini adalah bilangan pekerjaan yang kami sasarkan.

“Di samping itu, kami juga ingin memastikan sifat pekerjaan ini mampan dan pekerja dibayar dengan baik serta mempunyai prospek kerjaya yang baik,” kata Cik Poh.

Semasa berucap, Cik Poh berkata dalam senarai 18,700 pekerjaan yang bakal diwujudkan itu, hampir dua pertiga dijangka mempunyai gaji bulanan kasar melebihi $5,000.

Beliau menekankan bahawa EDB telah meningkatkan beberapa inisiatif untuk memastikan pelaburan asing ke Singapura “memanfaatkan tenaga kerja tempatan dan ekosistem perniagaan”.

EDB juga bekerjasama dengan syarikat, rakan kongsi latihan dan kesatuan sekerja, untuk memastikan pekerja dapat menyiapkan diri untuk pekerjaan baru yang bakal diwujudkan.

Di samping itu, usaha memastikan lebih ramai rakyat Singapura dapat menjawat jawatan kepimpinan dalam syarikat global sedang dipertingkatkan, tambahnya.

Pengerusi EDB, Encik Png Cheong Boon, berkata selain membawa masuk pekerjaan dan peluang perniagaan yang baik, projek yang telah diperoleh EDB pada 2024 juga menyokong usaha nasional Singapura untuk membina ekonomi yang lebih pelbagai dan berdaya tahan.

“Untuk kekal sebagai lokasi pilihan bagi syarikat berprestasi tinggi, kita akan mengukuhkan ekosistem tempatan kita serta menyiapkan tenaga kerja kita untuk merebut peluang pekerjaan dan kepimpinan baru.

“Dengan memastikan Singapura kekal relevan dalam rantaian nilai global, kita boleh menarik dan menambat pelaburan yang memberi manfaat kepada ekonomi, perusahaan dan rakyat kita untuk jangka masa panjang,” kata Encik Png.

EDB berkata sebahagian besar pelaburan yang dilakukan pada 2024 adalah daripada industri elektronik (57 peratus), perkilangan bioperubatan (16.5 peratus), dan ibu pejabat serta perkhidmatan profesional (8.4 peratus).

Mengenai penciptaan pekerjaan baru, EDB berkata kira-kira 46 peratus pekerjaan yang akan diwujudkan adalah dalam projek perkhidmatan, 37 peratus dalam sektor perkilangan, dan 17 peratus dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta inovasi.

Sebahagian besar pekerjaan yang bakal diwujudkan adalah dalam peranan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET), tambahnya.

“Sektor perkilangan terus menawarkan peluang pekerjaan yang baik.

“Hampir 70 peratus penduduk tempatan dalam sektor perkilangan adalah dalam peranan PMET.

“Dengan Singapura terus menarik kemudahan perkilangan termaju yang dapat menghasilkan produk bernilai tinggi merentas industri, peranan baru yang akan diwujudkan pada masa hadapan termasuk jurutera reka bentuk pembuatan, bioteknologi pembuatan dan pakar jaminan kualiti,” kata EDB.

“Untuk kekal sebagai lokasi pilihan bagi syarikat berprestasi tinggi, kita akan mengukuhkan ekosistem tempatan kita serta menyiapkan tenaga kerja kita untuk merebut peluang pekerjaan dan kepimpinan baru. Dengan memastikan Singapura kekal relevan dalam rantaian nilai global, kita boleh menarik dan menambat pelaburan yang memberi manfaat kepada ekonomi, perusahaan dan rakyat kita untuk jangka masa panjang.” 
Pengarah Urusan Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB), Cik Jacqueline Poh.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg