Harga pengguna utama Singapura meningkat sedikit lebih cepat daripada jangkaan pada September, dengan inflasi teras meningkat untuk bulan kedua berturut-turut, menurut data rasmi pada 23 Oktober.
Inflasi teras, yang tidak termasuk kos pengangkutan dan penginapan privet untuk mencerminkan perbelanjaan isi rumah di sini dengan lebih tepat, meningkat sehingga 2.8 peratus pada September, kata Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI).
Ini lebih tinggi daripada ramalan 2.7 peratus oleh pakar ekonomi dalam tinjauan Reuters, dan kadar 2.7 peratus yang dicatat pada Ogos.
Ia berlaku selepas inflasi teras turun kepada 2.5 peratus pada Julai, paras terendah dalam tempoh lebih dua tahun, lapor The Straits Times.
Namun, inflasi teras kekal di bawah paras tertinggi 5.5 peratus pada Januari 2023.
Inflasi keseluruhan turun kepada 2 peratus pada September, daripada 2.2 peratus pada Ogos, terutama disebabkan kejatuhan kos pengangkutan privet. Ini membantu mengimbangi peningkatan inflasi teras.
Angka keseluruhan itu, bagaimanapun, lebih tinggi daripada ramalan 1.9 peratus dalam tinjauan Reuters.
Daripada semua kategori perbelanjaan, inflasi runcit dan barangan lain meningkat 0.8 peratus pada September, berbanding 0.4 peratus pada Ogos disebabkan penurunan harga pakaian dan kasut yang lebih kecil.
Inflasi perkhidmatan tidak berubah pada 3.3 peratus kerana kejatuhan bayaran perkhidmatan telekomunikasi secara amnya diimbangi oleh peningkatan yang lebih besar dalam yuran pengajian dan lain-lain, perbelanjaan percutian dan kos insurans kesihatan.
Inflasi makanan turun kepada 2.6 peratus disebabkan harga perkhidmatan makanan meningkat pada kadar yang lebih perlahan.
Kos pengangkutan privet susut 2.4 peratus pada September, berbanding 1 peratus pada Ogos, disebabkan penurunan lebih besar harga kereta dan harga petrol yang lebih rendah.
Walaupun inflasi teras meningkat dalam tempoh dua bulan lepas, MAS dan MTI masih jangkakan ia kekal pada trend menyederhana secara beransur-ansur dan mencapai sekitar 2 peratus menjelang akhir tahun.
Walaupun harga tenaga global tidak menentu baru-baru ini, ia kekal di bawah paras setahun lalu.
Inflasi barangan import Singapura juga terus menurun secara meluas, kata MAS dan MTI, sambil menambah bahawa dolar Singapura yang semakin kukuh secara beransur-ansur berupaya meredakan inflasi import.
MAS pada 14 Oktober tidak mengubah pendirian dasar kewangannya yang memihak kepada dolar Singapura yang lebih kukuh untuk mengekang inflasi.
Inflasi perkhidmatan terus menyederhana dan akan terus menurun hingga akhir 2024, kata MAS dan MTI.
Kos unit tenaga kerja akan meningkat secara beransur-ansur apabila pertumbuhan gaji nominal menjadi sederhana dan produktiviti bertambah baik, tambah mereka.
Peningkatan kos tenaga kerja sebelum ini, telah menyumbang kepada harga pengguna yang lebih tinggi, juga sebahagian besarnya telah memuncak, kata mereka.
Dengan mengambil kira semua faktor ini, inflasi keseluruhan dijangka mencatat sekitar 2.5 peratus untuk keseluruhan 2024 dan purata 1.5 hingga 2.5 peratus pada 2025, kata MAS dan MTI.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg