Topik diikuti
Pergi ke BHkuEkon S’pura kembang 5.7 peratus pada suku kedua 2026
Ekon S’pura kembang 5.7 peratus pada suku kedua 2026
Lonjakan permintaan AI terus pacu sektor perkilangan dan eksport; konflik terbaru AS-Iran lonjak harga minyak
Ekon S’pura kembang 5.7 peratus pada suku kedua 2026
Ekonomi Singapura terus meraih manfaat daripada lonjakan kecerdasan buatan (AI), namun berkembang pada kadar lebih perlahan dalam suku kedua 2026, berikutan pertumbuhan dalam sektor pembinaan dan perdagangan borong yang kian mereda.
Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) berkata ekonomi berkembang sebanyak 5.7 peratus berdasarkan perbandingan tahun ke tahun bagi tempoh April hingga Jun.
Perkembangan tersebut lebih perlahan berbanding pertumbuhan 6.3 peratus yang dicatat pada suku sebelumnya.
Berdasarkan pelarasan bermusim suku ke suku, ekonomi berkembang sebanyak 1.1 peratus, menurun berbanding pertumbuhan 1.3 peratus pada suku pertama.
Kadar pertumbuhan lebih perlahan ini didorong terutamanya oleh sektor seperti pembinaan, yang berkembang 6.2 peratus tahun ke tahun pada suku kedua, berbanding 12.9 peratus pada suku sebelum ini.
Menurut MTI, sektor perdagangan borong dan runcit, serta sektor pengangkutan dan penyimpanan, secara gabungan berkembang sebanyak 6.3 peratus pada suku kedua, menyederhana daripada pertumbuhan 9.3 peratus pada suku sebelumnya.
Sementara itu, sektor perkilangan terus mencatat pengembangan kukuh dengan pertumbuhan 12.2 peratus tahun ke tahun, meningkat daripada pengembangan 8 peratus pada suku sebelum ini.
MTI menyatakan sektor perkilangan sepanjang suku tersebut, sebahagian besarnya didorong oleh peningkatan pengeluaran dalam segmen elektronik dan kejuruteraan jitu.
Peningkatan ini didorong permintaan kukuh berkaitan AI terhadap produk semikonduktor, serta peralatan untuk menghasilkan komponen berkenaan.
Di dalam sektor perkilangan, segmen bahan kimia dan bioperubatan menguncup berikutan gangguan bekalan bahan mentah akibat konflik di Timur Tengah.
Berdasarkan pelarasan bermusim suku ke suku, sektor perkilangan berkembang sebanyak 5.3 peratus, pulih daripada penguncupan 2.2 peratus pada suku pertama.
Eksport bukan minyak dalam negeri (Nodx) pula berkembang sebanyak 38.4 peratus pada Mei berbanding tempoh sama pada 2025, melanjutkan kenaikan 24.4 peratus pada April, sedang permintaan kukuh berkaitan AI terus memacu momentum perdagangan.
Kebanyakan penganalisis berpendapat adalah sukar untuk mengatasi kadar pertumbuhan yang dicatatkan oleh ekonomi Singapura pada suku pertama, kecuali jika pasaran tenaga tidak menentu itu kembali reda.
Prospek ekonomi menjadi semakin tidak menentu ekoran ketegangan terbaharu yang kembali tercetus antara Amerika Syarikat dengan Iran, sekali gus menjejas perjanjian gencatan senjata selama 60 hari yang dipersetujui kededua pihak itu pada pertengahan Jun.
Harga minyak mentah, yang sebelum ini jatuh ke paras terendah AS$71 ($91.86) setong, selepas pengumuman perjanjian gencatan senjata berkenaan, kini melonjak semula ke paras melebihi AS$80 setong.
Namun, harga tersebut masih jauh daripada paras tertinggi AS$120 yang dicatatkan beberapa minggu selepas Amerika dan Israel menyerang Iran pada akhir Februari lalu.
Harga gas asli, yang disandarkan kepada harga minyak, telah melonjakkan tarif elektrik di Singapura.
Konflik di Timur Tengah itu juga menyebabkan kekurangan minyak mentah dan produk petroleum seperti petrol dan diesel, sekali gus menyumbang kepada penguncupan dalam segmen bahan api dan bahan kimia bagi sektor perdagangan borong, serta segmen bahan kimia bagi sektor perkilangan.
Sejak perang meletus, harga minyak melonjak naik dan rangkaian bekalan menjadi kucar-kacir ekoran penutupan laluan perkapalan Selat Hormuz.
Penutupan laluan yang merupakan saluran utama bagi 20 peratus bekalan minyak sejagat itu turut menjejas prospek pertumbuhan bagi ekonomi yang bergantung kepada perdagangan di serata Asia, termasuk Singapura.
MTI sebelum ini berkata konflik tersebut turut menjejas prospek ekonomi sejagat, berikutan gangguan kepada bekalan tenaga serta bahan mentah utama lain seperti baja dan aluminium ekoran sekatan di selat berkenaan.
Inflasi teras – yang mengecualikan pengangkutan privet dan penginapan bagi mencerminkan perbelanjaan isi rumah dengan lebih tepat – berada pada paras 1.4 peratus pada Mei, kekal tidak berubah dari April.
