Topik diikuti
Pergi ke BHkuPemerintah terus perkukuh jaminan, sokongan kepada rakyat hadapi ketidaktentuan global
Pemerintah terus perkukuh jaminan, sokongan kepada rakyat hadapi ketidaktentuan global
PM Wong: Meski ekon tumbuh kukuh, tekanan terhadap pertumbuhan, inflasi dijangka pada separuh kedua 2026
Pemerintah terus perkukuh jaminan, sokongan kepada rakyat hadapi ketidaktentuan global
Pemerintah akan terus mempertingkatkan jaminan dan sokongan buat rakyat Singapura, terutamanya sedang dunia menghadapi perubahan pesat dan ketidaktentuan, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Di tengah-tengah peralihan yang menuju ke arah kuasa global yang lebih berbilang, Singapura juga sedang menyesuaikan strategi ekonominya untuk terus kekal relevan, tambah beliau.
Meskipun Singapura mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang kukuh pada suku pertama – melonjak 6 peratus pada suku pertama 2026, yang mengatasi ramalan awal 4.6 peratus sebelum ini – Encik Wong memberi amaran bahawa lebih banyak tekanan dijangka menjejas kedua-dua pertumbuhan dan inflasi pada separuh kedua 2026.
Beliau berkata masa depan masih tidak menentu kerana kesan penuh krisis tenaga global masih belum dirasai sepenuhnya akibat faktor selang masa.
Sebagai contoh, kenaikan penuh harga minyak belum dicerminkan dalam tarif elektrik semasa dan impaknya hanya akan mula dirasai pada suku tahun seterusnya.
Di samping itu, ekonomi dunia setakat ini mampu bertahan dan menyesuaikan diri daripada gangguan bekalan minyak, seperti di Selat Hormuz, berikutan adanya laluan alternatif, bekalan alternatif daripada pengeksport minyak lain dan pengeluaran stok simpanan.
“Penampan ini telah membantu mengurangkan impak setakat ini. Walau bagaimanapun, berapa lamakah gangguan ini akan berterusan? Dan berapa lamakah penampan ini akan bertahan? Itu kekal menjadi persoalan terbuka, dan jika gangguan tersebut berlarutan…maka pastinya pada satu ketika, impak terhadap ekonomi global akan menjadi lebih parah.
“Selepas itu, anda mungkin akan menghadapi lebih banyak kekurangan bekalan, dan kemudian anda mungkin melihat lebih banyak kesan terhadap permintaan, dan Singapura pastinya akan terkesan,” kata beliau.
Encik Wong berkata demikian selaku tetamu terhormat dalam dialog Siri Penceramah Terkemuka Singapore Press Club, dengan topik ‘Singapura pada Usia 61: Apakah yang Menanti di Hadapan?’, yang diadakan di SPH Media pada 8 Jun.
Disampaikan oleh Yayasan SPH, dialog itu dikendalikan moderator, naib presiden Singapore Press Club dan Editor Bersekutu di akhbar The Straits Times, Encik Zakir Hussain, dan dihadiri sekitar 250 karyawan media, termasuk editor, wartawan serta tetamu undangan.
Semasa dialog itu, Encik Wong membentangkan tiga pendekatan strategi ekonomi yang diambil Singapura dalam menyesuaikan diri di tengah-tengah dunia yang sedang berubah.
Ini termasuk dengan mempertajamkan tawaran nilai Singapura kepada dunia untuk kekal relevan – contohnya dengan membangunkan kelebihan dan kekuatan yang sukar ditiru dalam industri sedia ada seperti kewangan dan perkilangan termaju serta sektor pertumbuhan utama seperti kecerdasan buatan (AI).
Dalam menyediakan jaminan dan sokongan kepada rakyat, Encik Wong berkata pemerintah telah menyediakan lebih banyak sokongan sejak beberapa tahun lalu melalui inisiatif seperti Melakar Hala Tuju Singapura dan SkillsFuture.
Namun, dengan perubahan lebih pantas dan lebih kerap yang dijangkakan, pemerintah sedang memikirkan langkah-langkah tambahan untuk memperkukuh sistem sokongan bagi isi rumah, keluarga dan pekerja.
“Pada akhirnya, keyakinan kita adalah bahawa bentuk perlindungan sosial terbaik untuk rakyat Singapura adalah dengan membolehkan mereka untuk kekal adaptif, berkebolehan, dan mempunyai kebolehpasaran sepanjang hayat,” kata beliau.
Encik Wong turut menekankan kepentingan untuk menjadi lebih berdaya tahan dalam pelbagai aspek, termasuk dalam cara memperkukuh daya tahan tenaga.
Ditanya mengenai kebimbangan terhadap hakisan undang-undang antarabangsa, Encik Wong berkata terdapat keperluan untuk menjalankan reformasi terhadap institusi sedia ada yang kurang berfungsi dengan baik, seperti Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
Di samping itu, Singapura akan terus bekerjasama dengan negara yang berfikiran serupa, dan membentuk gabungan berbeza dalam menangani pelbagai aspek yang penting seperti perdagangan dan perubahan iklim.
Sebagai contoh, dalam bidang perdagangan, Singapura bekerjasama dengan negara-negara bersaiz kecil dan sederhana yang lain di bawah Perkongsian Masa Depan Pelaburan dan Perdagangan (FIT-P).
“Itu adalah dalam aspek perdagangan, tetapi kita boleh mengadakan perbincangan yang sama mengenai perubahan iklim dengan kumpulan negara yang lain, dan mengenai AI dengan satu lagi kumpulan negara yang berbeza. Jadi, saya rasa itu adalah rancangan terbaik kita buat masa sekarang,” kata beliau.
