Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

Ekon S’pura naik 2.8% pada suku ke-4

Ekonomi 2023 kembang 1.2%; dirangsang prestasi lebih baik sektor perkilangan, binaan
Jan 02, 2024 | 02:40 PM



Ekonomi Singapura berkembang 2.8 peratus tahun ke tahun pada suku keempat 2023, lebih cepat daripada pertumbuhan 1 peratus pada suku sebelumnya, dirangsang oleh prestasi lebih baik dalam sektor perkilangan dan pembinaan.

Angka suku keempat yang lebih baik daripada jangkaan penganalisis itu juga lebih tinggi daripada 2.1 peratus yang dicatat setahun lalu.

Bagi keseluruhan 2023, ekonomi berkembang 1.2 peratus, lebih rendah daripada pertumbuhan 3.6 peratus pada 2022, menurut anggaran awal Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada 2 Januari.

Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) bagi keseluruhan 2023 lebih tinggi sedikit daripada pertumbuhan 1 peratus yang diunjurkan dalam tinjauan suku tahunan oleh peramal profesional yang dikeluarkan oleh Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada 13 Disember.

Bagi suku ke suku setelah diselaraskan secara musiman, ekonomi berkembang sebanyak 1.7 peratus pada suku keempat, melanjutkan pengembangan 1.3 peratus pada suku ketiga, menurut The Straits Times (ST).


Dalam Amanat Tahun Baru 2024, Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, berkata ekonomi Singapura dijangka berkembang 1 hingga 3 peratus pada 2024. Bagaimanapun, banyak akan bergantung kepada persekitaran luaran, katanya.

Pakar ekonomi Maybank, Dr Chua Hak Bin, berkata ekonomi Singapura mencatat prestasi lebih baik kerana didorong oleh pemulihan sektor perkilangan.

Beliau menganggarkan ekonomi Singapura akan bertumbuh 2.2 peratus pada 2024, dengan eksport dan perkilangan menunjukkan prospek lebih cerah bagi 2024.

Permintaan barangan elektronik sedunia semakin pulih, antara lain didorong oleh kitaran penggantian barangan elektronik, subsidi murah hati Amerika Syarikat bagi semikonduktor dan kenderaan elektrik, serta ledakan kecerdasan buatan (AI), jelas Dr Chua.

Pemangku ketua pakar ekonomi kumpulan bank RHB, Encik Barnabas Gan, meramal pertumbuhan sebanyak 3 peratus bagi 2024, berdasarkan prestasi positif industri elektronik, kejuruteraan jitu, kejuruteraan pengangkutan dan perkilangan am.

Bagaimanapun, ketua pakar ekonomi Bank OCBC, Cik Selena Ling, kurang optimis dan mengekalkan ramalan pertumbuhan 2 peratus bagi 2024.

Beliau berkata persekitaran luaran dijangka kurang baik bagi keselamatan dan kemakmuran Singapura, manakala suasana geopolitik yang tidak menentu akan terus menjejas ekonomi dunia.

Ini termasuk persaingan berterusan antara Amerika dengan China dalam perkilangan termaju, pilihan raya Taiwan dan Amerika yang bakal tiba, dan persoalan sama ada Amerika dapat mengelakkan kemelesetan.

Pada suku keempat 2023, sektor perkilangan berkembang 3.2 peratus tahun ke tahun, selepas menguncup sepanjang tiga suku pertama 2022.

Pertumbuhan itu didorong oleh hasil pengeluaran yang berkembang dalam semua kelompok, kecuali industri kejuruteraan jitu.

Sektor dagangan borong dan runcit, serta pengangkutan dan penyimpanan naik 1.5 peratus tahun ke tahun.

Antara lain, ia disebabkan segmen pengangkutan udara yang kian pulih, dengan bilangan penumpang udara di Lapangan Terbang Changi terus meningkat.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >