Ekonomi Singapura tumbuh 4.1 peratus dari tahun ke tahun pada suku ketiga 2024, satu peningkatan daripada pertumbuhan 2.9 peratus pada suku kedua 2024.
Demikian menurut ramalan awal yang dikeluarkan pada 14 Oktober oleh Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI).
Ia adalah kadar pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) tertinggi sejak suku ketiga 2022, apabila ekonomi tumbuh 4.2 peratus.
Kedua-dua angka pertumbuhan – tahun ke tahun dan suku ke suku – mengatasi jangkaan pakar ekonomi sektor swasta, yang masing-masing sebanyak 3.8 peratus dan 2 peratus menurut tinjauan Bloomberg, lapor The Business Times.
Berdasar suku tahunan terselaras dengan musim, GDP meningkat 2.1 peratus. Ia peningkatan memberangsangkan daripada pertumbuhan 0.4 peratus pada suku sebelumnya.
Sektor perkilangan meningkat 7.5 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga, pertumbuhan baik daripada kemerosotan 1.1 peratus yang dicatatkan pada suku sebelumnya.
Pertumbuhan dalam sektor itu disokong hasil pengembangan keluaran dalam semua kluster, kecuali bio-perubatan, kata MTI.
Secara berurutan, sektor perkilangan berkembang 9.9 peratus, satu peningkatan daripada penguncupan 1.2 peratus pada suku sebelumnya.
Sementara itu, sektor pembinaan berkembang 3.1 peratus tahun ke tahun, susut daripada pertumbuhan 4.8 peratus pada suku sebelumnya.
Peningkatan dalam hasil pengeluaran pembinaan dalam sektor awam menyumbang kepada pertumbuhan sektor itu pada suku ketiga, kata MTI.
Namun, pertumbuhan dalam sektor pembinaan masih perlahan berbanding pertumbuhan 3.4 peratus pada suku kedua.
Industri perkhidmatan pula secara keseluruhan tumbuh 3.3 peratus pada suku ketiga, berbanding pertumbuhan 3.6 peratus pada suku sebelumnya.
Secara berurutan, industri perkhidmatan tumbuh 0.3 peratus, peningkatan perlahan daripada 0.4 peratus yang dicatatkan pada suku kedua.
Dalam industri perkhidmatan, sektor perdagangan borong dan runcit, bersama-sama sektor pengangkutan dan penyimpanan, secara kolektif berkembang 3.5 peratus, susut daripada pertumbuhan 3.9 peratus pada suku sebelumnya.
Tetapi secara berurutan, kelompok sektor itu menyusut 0.6 peratus, berbanding pertumbuhan 2.1 peratus pada suku sebelumnya.
Kumpulan sektor perkhidmatan yang terdiri daripada maklumat dan komunikasi, kewangan dan insurans, dan perkhidmatan profesional meningkat 4.3 peratus dari tahun ke tahun, satu penurunan daripada pertumbuhan 5.4 peratus pada suku kedua.
Berbanding pertumbuhan ekonomi pada suku-suku sebelumnya, kluster perkhidmatan berkembang 1.6 peratus, peningkatan kecil daripada pertumbuhan 1.2 peratus pada suku sebelumnya.
Pertumbuhan bagi kumpulan sektor perkhidmatan yang lain – perkhidmatan penginapan dan makanan, hartanah, perkhidmatan pentadbiran dan sokongan, serta perkhidmatan lain – ialah 1 peratus tahun ke tahun, tiada perbezaan dari suku sebelumnya.
Sektor perkhidmatan berkembang 0.8 peratus secara berurutan, pulih daripada penyusutan 1.3 peratus pada suku sebelumnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg