Lonjakan pertumbuhan sektor perkilangan pada suku keempat 2025 telah mendorong ekonomi Singapura mencatat pertumbuhan tahun penuh yang lebih baik daripada jangkaan sebanyak 4.8 peratus, meskipun terdapat kebimbangan mengenai tarif Amerika Syarikat.
Ekonomi tumbuh 5.7 peratus dari tahun ke tahun pada suku keempat 2025, meningkat daripada 4.3 peratus pada suku ketiga, menurut anggaran awal Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) yang dikeluarkan pada 2 Januari.
Namun, kadar pertumbuhan itu dijangka tidak berkekalan pada 2026.
Ramalan MTI yang diumumkan pada November 2025 menjangkakan pertumbuhan akan perlahan kepada antara 1 peratus dengan 3 peratus pada 2026, meskipun unjuran itu mungkin disemak semula sepanjang tahun.
Anggaran pertumbuhan 4.8 peratus bagi 2025 itu kali pertama diumumkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, pada 31 Disember.
Kadar itu melebihi ramalan sekitar 4 peratus oleh MTI pada November 2025, serta lebih tinggi daripada ramalan julat pertumbuhan antara 1.5 dengan 2.5 peratus pada Ogos 2025.
Ia juga melebihi pertumbuhan 4.4 peratus pada 2024 dan merupakan kadar peningkatan terpantas sejak 2021 apabila ekonomi berkembang 9.8 peratus menyusuli pandemik Covid-19, lapor The Straits Times (ST).
Berdasarkan perbandingan suku tahun selepas mengambil kira faktor musiman, ekonomi berkembang 1.9 peratus pada suku keempat, lebih perlahan berbanding peningkatan 2.4 peratus pada tiga bulan sebelumnya, kata MTI.
Didorong oleh peningkatan pengeluaran kukuh dalam sektor bioperubatan dan elektronik, sektor perkilangan mencatat pertumbuhan 15 peratus dari tahun ke tahun pada suku keempat 2025, meningkat daripada 4.9 peratus pada suku sebelumnya.
Menurut MTI, sektor perkilangan bioperubatan dipacu terutamanya oleh pertumbuhan kukuh dalam segmen farmaseutikal, manakala sektor elektronik dipacu oleh permintaan berterusan bagi semikonduktor berkaitan kecerdasan buatan (AI), pelayan dan produk berkaitan pelayan.
Selepas mengambil kira faktor musiman, sektor perkilangan berkembang 9.2 peratus pada suku keempat, melanjutkan peningkatan 11.1 peratus pada suku ketiga.
Sektor pembinaan mencatat pertumbuhan 4.2 peratus pada suku keempat, lebih perlahan berbanding 5.1 peratus yang dirakamkan pada suku sebelumnya.
Pertumbuhan pada suku tersebut disokong oleh peningkatan projek pembinaan dalam sektor awam dan swasta, kata MTI.
Dalam sektor perkhidmatan pula, sektor perdagangan borong dan runcit serta pengangkutan dan penyimpanan yang berorientasikan eksport mencatat pertumbuhan gabungan 3.9 peratus pada suku keempat, lebih pantas berbanding 3.7 peratus pada suku sebelumnya.
MTI berkata pertumbuhan dalam sektor perdagangan borong didorong oleh jumlah jualan kukuh dalam segmen mesin, peralatan dan bekalan, terutamanya jualan peralatan telekomunikasi, komputer dan komponen elektronik menyusuli kemunculan teknologi AI.
Sektor maklumat dan komunikasi, kewangan dan insurans, serta perkhidmatan profesional berkembang 4.2 peratus, melanjutkan pertumbuhan 4.5 peratus pada suku sebelumnya.
Sejak awal 2025, MTI menjangkakan pertumbuhan global akan terjejas dengan tarif timbal balas yang diumumkan Presiden Amerika, Encik Donald Trump.
Namun, keadaan ekonomi global ternyata lebih berdaya tahan daripada jangkaan apabila kebanyakan tarif akhirnya dipersetujui pada kadar jauh lebih rendah daripada yang diumumkan pada April 2025.
Pada masa sama, ledakan teknologi AI yang lebih besar daripada jangkaan menyokong pertumbuhan ekonomi serta eksport semikonduktor dan peralatan berkaitan AI.
Ketegangan perdagangan juga telah berkurangan baru-baru ini.
Antaranya, gencatan perang perdagangan antara Amerika dengan China dilanjutkan sehingga November 2026 dengan pengurangan kadar tarif Amerika ke atas China.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg