Ekonomi Singapura terus mencatat pertumbuhan pada suku kedua 2025, terselamat daripada kemelesetan teknikal.
Ini meskipun berdepan tekanan berterusan dalam perdagangan sejagat dan ketidaktentuan tarif Amerika Syarikat yang menjejas ekonomi berteraskan eksport ini.
Prestasi yang lebih baik daripada jangkaan ini turut mendorong beberapa ahli ekonomi untuk menaikkan unjuran pertumbuhan bagi 2025, melebihi julat rasmi antara sifar dengan 2 peratus.
Kemelesetan teknikal merujuk kepada pertumbuhan negatif selama dua suku berturut-turut, berbeza dengan kemelesetan ekonomi sebenar yang mengambil kira prestasi tahun ke tahun.
Berdasarkan anggaran awal Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), ekonomi negara berkembang sebanyak 4.3 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2025, berbanding pertumbuhan 4.1 peratus pada suku sebelumnya.
Angka itu melebihi unjuran konsensus penganalisis yang dikeluarkan Reuters sebelum ini, yang menjangkakan pertumbuhan 3.5 peratus bagi suku kedua.
Berpandukan data diselaraskan bermusim secara suku ke suku, ekonomi berkembang sebanyak 1.4 peratus, berbanding penyusutan 0.5 peratus pada suku pertama 2025, menurut kenyataan MTI pada 14 Julai.
Pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) bagi suku pertama adalah 4.1 peratus, naik sedikit daripada anggaran awal 3.9 peratus.
Manakala bagi separuh pertama 2025, pertumbuhan purata GDP negara adalah 4.2 peratus tahun ke tahun.
“Melangkah ke depan, masih terdapat ketidaktentuan yang ketara dan risiko (kehilangan nilai dalam pelaburan) dalam ekonomi sejagat bagi separuh kedua 2025, berikutan ketidaktentuan mengenai dasar tarif Amerika,” kata MTI dalam satu kenyataan.
Angka terbaru ini dikeluarkan ketika Singapura berdepan permintaan luar yang goyah susulan langkah Amerika memperhebat perang perdagangan dengan rakan dagang utama, lapor The Straits Times (ST).
Singapura telah dikenakan tarif 10 peratus oleh Amerika meskipun negara itu mencatat lebihan dagangan barangan sebanyak AS$2.8 bilion ($3.59 bilion) dengan republik ini pada 2024.
Prestasi Singapura yang lebih baik daripada jangkaan dipacu oleh tindakan syarikat perkilangan yang mempercepat pembelian dan penghantaran sebelum tarif Amerika dikuatkuasakan, kata Ketua Pakar Ekonomi OCBC, Cik Selena Ling.
Sektor perkilangan mencatat pertumbuhan sebanyak 5.5 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2025, lebih tinggi berbanding pertumbuhan 4.4 peratus pada suku sebelumnya.
Pertumbuhan ini didorong oleh peningkatan hasil keluaran dalam semua sektor, kecuali kimia dan perkilangan umum.
Sektor pembinaan berkembang sebanyak 4.9 peratus tahun ke tahun pada suku kedua, sedikit perlahan berbanding pertumbuhan 5.1 peratus pada suku sebelumnya.
Kumpulan sektor perkhidmatan – yang terdiri daripada sektor perdagangan borong dan runcit serta sektor pengangkutan dan penyimpanan – mencatat pertumbuhan sebanyak 4.8 peratus tahun ke tahun pada suku kedua, berbanding 4.6 peratus pada suku sebelumnya.
Kesemua sektor dalam kumpulan ini menunjukkan perkembangan positif sepanjang suku ini.
Pertumbuhan dalam sektor pengangkutan dan penyimpanan terutamanya dipacu oleh segmen pengangkutan air, manakala sektor perdagangan borong dipacu oleh segmen mesin, peralatan dan bekalan.
Sektor perdagangan runcit berkembang berikutan peningkatan jumlah jualan dalam kedua-dua segmen kenderaan bermotor dan tidak bermotor.
Sektor maklumat dan komunikasi, kewangan dan insurans serta perkhidmatan profesional mencatat pertumbuhan sebanyak 3.8 peratus tahun ke tahun pada suku kedua, berbanding 3.7 peratus pada suku sebelumnya.
Berdasarkan data diselaraskan bermusim secara suku ke suku, ketiga-tiga sektor ini mencatat pertumbuhan sebanyak 1.3 peratus, menandakan pemulihan daripada penyusutan 4.4 peratus pada suku pertama.
Pertumbuhan gabungan beberapa sektor perkhidmatan – termasuk penginapan dan makanan, hartanah, perkhidmatan pentadbiran dan sokongan, serta perkhidmatan lain – adalah 3.4 peratus tahun ke tahun pada suku kedua.
Kadar ini lebih pantas berbanding pertumbuhan 2.3 peratus pada suku sebelumnya, didorong oleh peningkatan dalam sektor penginapan yang menyaksikan lebih ramai pelawat antarabangsa berbanding 2024.
Prestasi lebih baik daripada jangkaan yang dicatatkan pada separuh pertama 2025 mendorong Cik Ling untuk menaikkan unjuran pertumbuhan Singapura kepada 2.1 peratus bagi 2025, berbanding 1.6 peratus sebelum ini.
Angka itu lebih tinggi daripada unjuran pertumbuhan MTI yang berada dalam julat antara sifar hingga 2 peratus, susulan pengumuman tarif besar-besaran oleh Amerika pada April.
Maybank turut menaikkan unjuran pertumbuhan GDP bagi 2025 kepada 3.2 peratus, daripada 2.4 peratus sebelum ini.
“
“Melangkah ke depan, masih terdapat ketidaktentuan yang ketara dan risiko (kehilangan nilai dalam pelaburan) dalam ekonomi sejagat bagi separuh kedua 2025, berikutan ketidaktentuan mengenai dasar tarif Amerika.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg