Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ekonomi S’pura atasi jangkaan, naik 2.9% pada suku ketiga

Di sebalik tarif Amerika, peningkatan didorong kegiatan kukuh sektor perkilangan dan berkaitan pengguna domestik
Oct 14, 2025 | 4:41 PM
Ekonomi, S’pura, atasi jangkaan
Berdasarkan perbandingan suku ke suku yang telah disesuaikan, ekonomi berkembang 1.3 peratus, perlahan sedikit berbanding pertumbuhan 1.5 peratus pada suku kedua, kata Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI). - Foto ST

Ekonomi Singapura mengatasi jangkaan pada suku ketiga, disokong oleh kegiatan kukuh dalam sektor perkilangan dan sektor berkaitan dengan pengguna domestik.

Ekonomi meningkat 2.9 peratus berbanding suku ketiga 2025, turun sedikit berbanding pertumbuhan 4.5 peratus pada suku sebelumnya.

Demikian menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), pada 14 Oktober, lapor The Straits Times (ST).

Prestasi itu lebih baik daripada jangkaan, mengatasi ramalan ahli ekonomi yang mengunjurkan pertumbuhan 2 peratus dalam tinjauan Bloomberg.

Berdasarkan perbandingan suku ke suku yang telah disesuaikan, ekonomi berkembang 1.3 peratus, perlahan sedikit berbanding pertumbuhan 1.5 peratus pada suku kedua, kata MTI.

Dalam kenyataan berasingan, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) berkata ekonomi berkembang 3.9 peratus dalam tiga suku pertama 2025, lebih pantas berbanding tempoh yang sama pada 2024.

MAS turut menilai jurang pengeluaran dijangka kekal positif bagi keseluruhan 2025.

Namun, MAS menambah pertumbuhan Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) Singapura dijangka “akan perlahan daripada kadar biasa dalam suku-suku akan datang apabila kegiatan dalam sektor perdagangan kembali ke tahap biasa”.

“Pada 2026, pertumbuhan GDP dijangka perlahan mengikuti perkembangan luar, menuju kadar lebih mantap, dengan jurang pengeluaran susut kepada sekitar 0 peratus,” kata MAS.

Ramalan rasmi yang dikemas kini untuk 2025 dan 2026 akan diumumkan oleh MTI pada November.

Menurut MAS, pelaburan sejagat yang berterusan, yang berkaitan dengan kecerdasan buatan (AI) akan memberi sokongan kepada sektor perkilangan domestik.

Pertumbuhan dalam sektor pembinaan dan perkhidmatan kewangan dijangka mendapat sokongan daripada pelaburan prasarana dan keadaan kewangan yang baik, tambahnya.

Pada suku ketiga 2025, pertumbuhan sektor perkilangan Singapura adalah mendatar, merosot daripada pengembangan 5 peratus pada suku sebelumnya, menurut data MTI.

Pertumbuhan terhalang oleh penurunan pengeluaran dalam kelompok perkilangan bioperubatan dan perkilangan umum, walaupun pengeluaran dalam kelompok perkilangan lain berkembang.

Namun, berdasarkan perbandingan suku ke suku yang disesuaikan secara musiman, sektor perkilangan berkembang 6.1 peratus, pemulihan daripada pengecutan 0.7 peratus pada suku kedua.

Sektor pembinaan berkembang 3.1 peratus berbanding 2024 pada suku ketiga, berkurangan daripada pertumbuhan 6.2 peratus pada suku sebelumnya.

Peningkatan pengeluaran pembinaan sektor awam dan swasta menyokong pertumbuhan suku ini.

Namun, berdasarkan perbandingan suku ke suku, sektor ini menyusut 1.2 peratus berbanding pertumbuhan 6.5 peratus pada suku kedua.

Sektor perdagangan borong dan runcit, serta pengangkutan dan penyimpanan, berkembang 2.5 peratus berbanding suku ketiga 2024, di mana ia turun daripada 4.9 peratus pada suku sebelumnya, kata MTI.

Pertumbuhan dalam sektor perdagangan borong didorong oleh segmen jentera, peralatan, dan bekalan, manakala sektor pengangkutan dan penyimpanan disokong terutama oleh segmen pengangkutan air dan udara.

Sektor maklumat dan komunikasi, kewangan dan insurans, serta perkhidmatan profesional berkembang 4.4 peratus berbanding suku ketiga 2024, melanjutkan pertumbuhan 4.3 peratus pada suku sebelumnya.

Perkhidmatan penginapan dan makanan, hartanah, perkhidmatan pentadbiran dan sokongan serta sektor perkhidmatan lain berkembang 4.1 peratus berbanding suku ketiga 2024, selepas pengembangan 4 peratus pada suku sebelumnya.

Kesemua sektor dalam kumpulan tersebut, kecuali sektor perkhidmatan makanan dan minuman, berkembang sepanjang suku tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg