Penguasa Kewangan Singapura (MAS) akan bekerjasama dengan rakan kongsi untuk memastikan kedudukan Singapura sebagai pusat kewangan global yang terkemuka dan inovatif dan memperkukuh kedudukan Singapura sebagai pusat kewangan yang dipercayai melalui penyeliaan yang teguh dan peraturan berkadar risiko.
Ia juga akan terus bekerjasama dengan industri kewangan dan agensi pemerintah lain untuk melindungi sistem kewangan Singapura daripada kegiatan haram, kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong.
Encik Gan, yang juga Menteri Bertanggungjawab merangkap Pengerusi MAS, sebuah lembaga berkanun di bawah Pejabat Perdana Menteri (PMO), memberi jaminannya pada 16 September sambil menggariskan adendum (kenyataan tambahan) MAS berikutan Amanat Presiden pada 5 September.
“Kami telah mengetatkan kawalan untuk menyukarkan penipu daripada mengakses akaun pelanggan atau mengesahkan transaksi yang tidak dibenarkan.
“Kami juga telah bekerjasama dengan bank untuk memperkenalkan Money Lock, untuk mengehadkan potensi kerugian sekiranya akses perbankan digital pelanggan terjejas.
“Kami akan mempertimbangkan perlindungan lain untuk memerangi penipuan, seperti pengesahan pengguna yang lebih kukuh untuk mengelakkan transaksi tanpa kebenaran,” kata Encik Gan.
Untuk melindungi pengguna dengan lebih baik, beliau berkata MAS telah mengemas kini Garis Panduan Urus Niaga Adil untuk meningkatkan piawaian dan menambah baik pengalaman pelanggan yang berurusan dengan institusi kewangan.
Ia juga telah melancarkan Panduan Perancangan Kewangan Asas untuk mengukuhkan pendidikan pengguna dan membantu individu mengambil tindakan untuk menangani keperluan simpanan, insurans dan pelaburan di seluruh peringkat kehidupan.
Untuk menggalak institusi kewangan mengguna pakai teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam perkhidmatan kewangan, Encik Gan berkata MAS akan menyokong mereka membina keupayaan mereka melalui Skim Geran Teknologi dan Inovasi Sektor Kewangan, serta meningkatkan kemahiran tenaga kerja sektor kewangan.
“MAS akan memastikan tenaga kerja kita dilengkapi untuk mengharungi kerumitan yang semakin meningkat dalam sektor kewangan.
“Peta Transformasi Pekerjaan Kewangan Yang Mampan telah mengenal pasti kemahiran yang diperlukan oleh tenaga kerja kita untuk menyokong pasaran kewangan mampan yang semakin meningkat,” kata Encik Gan.
Beliau berkata MAS juga akan terus bekerjasama dengan institusi kewangan untuk memperdalam keupayaan merentas kelas aset utama seperti perbankan, pertukaran asing, insurans, pengurusan aset dan kekayaan serta pembayaran.
Beliau menambah Kumpulan Kajian Pasaran Ekuiti telah mengesyorkan langkah untuk menggalak penyenaraian berkualiti, meningkatkan penyertaan pelabur dan meluaskan kecairan pasaran, dan meletakkan semula struktur dan pendekatan kawal selia.
“Kumpulan kajian itu akan mempertimbangkan cadangan tambahan dan menyiapkan laporannya menjelang akhir 2025,” ujar Encik Gan.
Untuk menyokong peralihan Asia kepada ekonomi rendah karbon, beliau berkata MAS akan melabur sehingga AS$5 bilion ($6.39 bilion) untuk penyahkarbonan dan peralihan iklim melalui Kerjasama Pembiayaan Peralihan Asia (FAST-P).
Beliau menambah bahawa pejabat FAST-P akan memudahkan penggunaan sehingga AS$500 juta modal konsesi daripada pemerintah, di samping modal daripada rakan kongsi lain.
Mengenai dasar kewangan negara, Encik Gan berkata MAS telah melonggarkan tetapan dasar kewangan sebanyak dua kali pada 2025 sebagai tindak balas kepada penurunan berterusan dalam kadar inflasi teras Singapura.
Di tengah-tengah ketidaktentuan global, beliau memberi jaminan bahawa MAS kekal komited untuk memastikan kestabilan harga jangka sederhana, dan akan terus berwaspada terhadap kesan perkembangan terhadap pertumbuhan dan inflasi.
“Sekiranya keadaan ekonomi kitaran melemah secara tidak dijangka dalam tempoh ini, MAS akan memastikan bahawa tindak balas dasar kewangan adalah tepat pada masanya dan sesuai, sambil mempertimbangkan langkah sokongan lain bersama-sama dengan sektor kewangan,” terang Encik Gan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg