Ekonomi Singapura mencatat pertumbuhan lebih kukuh daripada jangkaan pada separuh pertama 2025.
Pertumbuhan sepanjang tahun dijangka lebih kukuh berbanding unjuran sebelumnya, ujar bank pusat Singapura.
Dalam satu laporan yang dikeluarkan pada 30 Julai, Penguasa Kewangan Singapura (MAS), menyatakan bahawa sebahagian besar pertumbuhan itu didorong oleh peningkatan dalam sektor berkaitan perdagangan.
Khususnya, ia disebabkan oleh pesanan eksport yang dipercepat di rantau Asean apabila perniagaan menyegerakan penghantaran barangan sebelum kenaikan tarif yang dijangkakan.
Namun, MAS mengingatkan bahawa rangsangan itu dijangka pudar pada suku-suku mendatang di tengah-tengah permintaan sejagat yang semakin lembap dan ketidaktentuan berterusan dalam persekitaran perdagangan antarabangsa.
“Pada masa yang sama, jangkaan kenaikan kadar tarif dan ketidaktentuan yang berterusan dijangka akan menjejas permintaan akhir di banyak ekonomi.
“Akibatnya, pertumbuhan dalam kalangan rakan dagangan utama Singapura diramalkan akan perlahan sepanjang baki 2025 dan menjangkau ke 2026.
“Dalam konteks ini, pertumbuhan Singapura dijangka sederhana sepanjang baki tahun ini (2025),” ujar MAS.
Merujuk kepada pesanan eksport yang dipercepatkan itu, bank pusat Singapura itu berkongsi bahawa ia didorong oleh gencatan perdagangan antara Amerika Syarikat dengan China yang mengurangkan ketegangan yang meningkat selepas pengumuman tarif timbal balas pada 2 April.
Bersama dengan pengecualian tarif ke atas produk elektronik dan farmaseutikal, kegiatan berkaitan perdagangan meningkat.
Namun, rangsangan daripada pesanan eksport yang dipercepat tidak sama rata, dengan barangan yang dieksport semula menunjukkan prestasi lebih baik berbanding pembuatan domestik.
“Dari segi nilai sebenar, barangan yang dieksport semula meningkat sebanyak 31 peratus tahun-ke-tahun pada suku kedua, manakala barangan eksport domestik dan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IIP) berkembang pada kadar lebih sederhana,” kongsi MAS.
Namun, ketidaktentuan yang dihadapi oleh ekonomi Singapura dijangka akan berterusan dan mempengaruhi keputusan pelaburan syarikat.
Ini memandangkan tarikh akhir 1 Ogos untuk memuktamadkan perjanjian perdagangan dengan Amerika Syarikat semakin hampir.
“Dengan syarikat kekal berhati-hati terhadap kesan jangka panjang tarif dan halangan bukan tarif, mereka mungkin menangguhkan rancangan jangka panjang sambil membuat penyesuaian secara berperingkat terhadap keputusan pengeluaran dan pelaburan,” kongsi MAS.
Menurut MAS, ini boleh menyebabkan kemungkinan perbelanjaan perniagaan menurun secara berperingkat, sekali gus menjejaskan pertumbuhan GDP dalam tempoh yang lebih lama.
“Permintaan terhadap pekerja dijangka terus lemah sepanjang separuh kedua tahun ini (2025) apabila pertumbuhan GDP perlahan dan syarikat menangguhkan rancangan pengembangan mereka ekoran prospek ekonomi yang tidak menentu,” tambah bank pusat Singapura itu.
Dalam pada itu, ekonomi Singapura telah mengelakkan kemungkinan berlakunya kemelesetan teknikal pada suku kedua 2025, dengan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) berkembang 1.4 peratus secara sukuan.
Ini berbanding dengan penguncupan 0.5 peratus pada suku pertama.
Dari segi tahun ke tahun, pertumbuhan GDP kekal kukuh pada 4.3 peratus, melanjutkan pertumbuhan 4.1 peratus pada suku sebelumnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg