Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ekonomi S’pura naik 4.3% pada suku keempat 2024

Ia lebih perlahan dari suku ketiga 2024 tetapi atasi jangkaan pasaran
Jan 2, 2025 | 4:26 PM
Pertumbuhan perlahan daripada 5.4 peratus pada suku ketiga 2024 tetapi mengatasi ramalan pengamat ekonomi sebanyak 3.8 peratus.
Pertumbuhan perlahan daripada 5.4 peratus pada suku ketiga 2024 tetapi mengatasi ramalan pengamat ekonomi sebanyak 3.8 peratus. - Foto ZAOBAO

Ekonomi Singapura mungkin telah mengatasi ramalan rasmi dan jangkaan pasaran pada 2024, tetapi pakar ekonomi melihat prospek pertumbuhan yang lebih mencabar bagi 2025.

Pendirian berhati-hati itu dibuat apabila anggaran awal Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada 2 Januari menunjukkan ekonomi berkembang 4.3 peratus pada suku keempat 2024.

Ini disokong pertumbuhan dalam sektor perkhidmatan dan binaan.

Walaupun lebih rendah daripada pertumbuhan 5.4 peratus pada suku sebelumnya, ia mengatasi jangkaan pertumbuhan 3.8 peratus oleh pakar ekonomi dalam tinjauan Bloomberg.

Bagi perbandingan suku tahun, ekonomi berkembang 0.1 peratus, turun daripada pertumbuhan 3.2 peratus pada suku ketiga 2024.

Bagi keseluruhan 2024, ekonomi berkembang 4 peratus, kata MTI, mengulangi angka yang diumumkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong dalam perutusan Tahun Barunya pada 31 Disember, lapor The Straits Times (ST).

Ini pertumbuhan tertinggi sejak 2021. Ekonomi berkembang 1.1 peratus pada 2023.

Ia juga mengatasi jangkaan MTI sekitar 3.5 peratus yang dibuat pada November 2024.

MTI tidak memberi ramalan baru untuk pertumbuhan 2025 tetapi berkata pada November bahawa ia menyaksikan pertumbuhan antara 1 dengan 3 peratus.

Ia menggariskan risiko penurunan akibat peningkatan konflik geopolitik dan ketidakpastian lebih tinggi terhadap dasar perdagangan Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Encik Donald Trump yang akan datang.

Ketua ekonomi OCBC Bank, Cik Selena Ling, berkata 2024 adalah tahun yang “hebat sekali”, tetapi jangkaan 2025 masih dibayangi faktor luaran.

Ini termasuk jangkaan tarif Encik Trump yang kedua, persaingan strategik Amerika-China dan ketegangan geopolitik.

“Disebabkan asas pertumbuhan yang lebih tinggi pada 2024, kami turunkan ramalan pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) 2025 daripada sekitar 2.7 peratus kepada 2.2 peratus,” katanya.

Beliau berkata kesan tarif masih belum dipastikan, tetapi suku pertama secara tradisi menyaksikan kegiatan lebih sederhana disebabkan cuti Tahun Baru Cina.

Turut mendapat perhatian ialah Belanjawan 2025 pada 18 Februari.

Terdapat jangkaan semakin tinggi untuk bantuan yang akan diberikan kepada mereka yang menghadapi masalah kos sara hidup dan jaminan pekerjaan, kata Cik Ling.

Pertumbuhan pada suku akhir 2024 didorong prestasi lebih baik dalam perkhidmatan dan pembinaan.

Khususnya, perdagangan borong dan runcit, serta sektor pengangkutan dan penyimpanan secara kolektif berkembang 5.6 peratus pada suku akhir – meneruskan pertumbuhan 5.2 peratus pada suku sebelumnya.

Dalam kumpulan ini, perusahaan runcit satu-satunya yang mengecut.

Didorong projek sektor awam, sektor binaan berkembang 5.9 peratus pada suku keempat, lebih cepat berbanding pertumbuhan 4.7 peratus pada suku ketiga.

Sektor perkilangan berkembang 4.2 peratus, diterajui barangan elektronik dan kejuruteraan pengangkutan.

Namun sektor perkhidmatan penginapan dan makanan, hartanah, perkhidmatan pentadbiran dan sokongan, serta perkhidmatan lain, secara kolektif berkembang 2.6 peratus pada suku keempat – berbanding pertumbuhan 1.4 peratus suku sebelumnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg