Eksport Bukan Minyak Dalam Negeri (Nodx) mencatat pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 38.4 peratus tahun ke tahun pada Mei, meneruskan momentum peningkatan 24.4 peratus yang dicapai pada April.

Data terbaharu daripada Enterprise Singapore pada 17 Jun menunjukkan ia merupakan peningkatan tertinggi sejak Disember 2003.

Pakar Ekonomi Kanan DBS, Encik Chua Han Teng, dalam nota penyelidikannya, menegaskan pentingnya pencapaian itu dalam landskap ekonomi semasa.

Sektor elektronik menjadi tunjang utama dengan lonjakan drastik sebanyak 94.8 peratus pada Mei, disokong kuat oleh permintaan sejagat terhadap teknologi kecerdasan buatan (AI).

Segmen bukan elektronik turut menunjukkan prestasi cemerlang dengan pertumbuhan 17.7 peratus, berbanding 10.9 peratus pada bulan sebelumnya.

Secara keseluruhan, bagi tempoh lima bulan pertama 2026, Nodx berkembang sebanyak 18.1 peratus.

Eksport barangan keseluruhan Singapura juga mencatat peningkatan luar biasa, meningkat 36.1 peratus tahun ke tahun pada Mei, melangkaui pertumbuhan 31.7 peratus pada April.

Ini didorong oleh pecutan Nodx, manakala eksport semula bukan minyak mengekalkan peningkatan stabil dan kukuh sebanyak 33.6 peratus, berbanding 29.6 peratus pada April, tambah Encik Chua.

Menurutnya, prestasi kukuh Nodx terus disokong terutamanya oleh pertumbuhan yang melonjak dan cemerlang dalam penghantaran domestik elektronik yang dipacu AI, manakala pertumbuhan dalam segmen bukan elektronik, pada 17.7 peratus untuk bulan kedua berturut-turut, sebahagiannya disokong oleh asas yang rendah berbanding tahun sebelumnya.

Encik Chua menambah bahawa kitaran eksport Singapura kini semakin saling berkaitan dengan syarikat AI utama di Taiwan dan Korea Selatan, dengan Nodx elektronik ke kedua-dua destinasi mencatat pertumbuhan tiga digit pada Mei.

Pertumbuhan sektor elektronik ini didorong terutama oleh litar bersepadu yang meningkat 80.9 peratus dengan nilai S$1.6 bilion, serta produk media cakera yang meningkat lebih tiga kali ganda.

Bagi barangan bukan elektronik, sektor farmaseutikal memimpin dengan peningkatan nilai lebih dua kali ganda, menyumbang sebanyak $1 bilion.

Peningkatan turut disumbangkan oleh jentera khusus yang melonjak 66.9 peratus serta emas bukan kewangan yang meningkat 83.2 peratus.

Emas bukan kewangan merujuk kepada emas yang diniagakan sebagai komoditi dan bukan sebagai simpanan bank pusat.

Prestasi Nodx ke semua 10 pasaran utama Singapura mencatat pertumbuhan pada Mei, kecuali Indonesia yang menyaksikan penurunan penghantaran.

Permintaan dari Taiwan melonjak lebih sekali ganda berbanding April, didorong oleh peningkatan kukuh dalam litar bersepadu, produk media cakera, serta jentera khusus.

Sementara itu, eksport ke Amerika Syarikat turut meningkat kepada 80.9 peratus, dipacu oleh permintaan terhadap produk farmaseutikal, media cakera, dan komputer peribadi.

Eksport ke China pula berkembang 31 peratus, kadar yang sedikit perlahan berbanding 37.8 peratus yang dicatatkan pada April.

Secara keseluruhan, jumlah perdagangan barangan negara meningkat 39.7 peratus pada Mei, meneruskan momentum kenaikan 33 peratus yang dicapai pada bulan sebelumnya.