Eksport utama Singapura mencatat pemulihan mengejutkan pada Jun, selepas mengalami penurunan pada Mei, hasil daripada pertumbuhan dalam penghantaran elektronik dan bukan elektronik.
Eksport Bukan Minyak Dalam Negeri (Nodx) berkembang 13 peratus pada Jun berbanding tempoh yang sama pada 2024, selepas mengalami penurunan 3.9 peratus pada Mei.
Demikian menurut data Enterprise Singapore (EnterpriseSG) pada 17 Julai.
Prestasi itu melebihi jangkaan para penganalisis yang meramalkan peningkatan sekitar 5 peratus.
Bagi enam bulan pertama 2025, jumlah eksport meningkat 5.2 peratus.
Pertumbuhan itu didorong terutama oleh langkah syarikat yang mempercepat penghantaran barang sebelum berakhirnya pengecualian tarif yang sepatutnya berlaku pada 9 Julai.
EnterpriseSG berkata ia sedang memantau secara aktif perkembangan keadaan tarif dari Amerika Syarikat itu dan akan membuat penyesuaian kepada ramalan Nodx 2025 jika perlu, bagi mencerminkan perubahan keadaan pasaran.
Ramalan seterusnya dijangka akan dikeluarkan pada Ogos, lapor The Straits Times (ST).
Dalam ulasan perdagangan suku tahunan pada Mei, agensi itu menjangkakan eksport utama akan meningkat sekitar 1 hingga 3 peratus pada 2025.
Presiden Amerika, Encik Donald Trump, yang telah menghantar lebih 20 surat kepada rakan dagangan berkenaan kadar tarif untuk pelbagai negara, masih belum menghantar surat kepada Singapura.
Meskipun tarikh tamat pengecualian tarif dilanjutkan dari 9 Julai ke 1 Ogos, ketidaktentuan tarif itu masih membayangi prospek perniagaan syarikat di Singapura.
Pada Jun, penghantaran produk elektronik meningkat 8 peratus tahun ke tahun, melanjutkan kenaikan 1.6 peratus yang dicatat pada Mei.
Jumlah eksport litar bersepadu, atau cip, meningkat 17.5 peratus, manakala eksport komputer peribadi melonjak 53.8 peratus, dan eksport papan litar bercetak kosong naik 17 peratus.
Ketiga-tiga segmen itu menyumbang paling banyak kepada peningkatan penghantaran elektronik.
Penghantaran bukan elektronik turut berkembang 14.5 peratus pada Jun, selepas sektor itu mencatatkan penurunan 5.8 peratus pada Mei.
Eksport emas bukan kewangan meningkat mendadak sebanyak 211.9 peratus, manakala mesin khas pula mencatat peningkatan 31.4 peratus.
Bahan kimia khas lain pula naik 20.1 peratus.
Penghantaran Singapura ke Amerika sekali lagi menurun, diikuti dengan penurunan penghantaran ke zon euro, Thailand, Malaysia, Indonesia dan Jepun.
Namun, eksport ke Hong Kong mencatat peningkatan 54.4 peratus pada Jun, berbanding kenaikan 0.1 peratus pada Mei, didorong oleh peningkatan dalam jumlah eksport mesin khas, cip dan emas bukan kewangan.
Penghantaran ke Taiwan turut meningkat 28.3 peratus pada Jun, melanjutkan pertumbuhan 15.6 peratus pada Mei, hasil pertumbuhan dalam eksport mesin khas, alat pengukur dan cip.
Eksport Singapura ke Korea Selatan meningkat 33 peratus pada Jun, selepas kenaikan 4.9 peratus pada Mei, hasil peningkatan dalam eksport mesin khas, alat pengukur dan komputer peribadi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg