Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pakar ekon kurangkan ramalan pertumbuhan S’pura kepada 1.7%

Ini berbanding ramalan awal 2.6%, sebahagian besar disebabkan penguncupan sektor perkilangan
Jun 18, 2025 | 7:36 PM
ekonomi, ramalan, 1.5 %
Pakar ekonomi berkata inflasi teras juga dijangka turun kepada 0.8 peratus, lebih rendah daripada 1.5 peratus dalam tinjauan sebelum ini. - Foto ST

Pakar ekonomi sektor swasta telah mengurangkan ramalan pertumbuhan dan inflasi Singapura secara ketara bagi keseluruhan 2025.

Demikian menurut tinjauan suku tahunan terkini, berbanding suku sebelumnya.

Ramalan pertumbuhan median Singapura dikurangkan kepada 1.7 peratus – sebahagian besarnya disebabkan penguncupan dalam sektor perkilangan yang dijangkakan – daripada 2.6 peratus sebelum ini, menurut tinjauan suku tahunan terkini melibatkan peramal profesional yang dikeluarkan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada 18 Jun.

Inflasi teras juga dijangka turun kepada 0.8 peratus, lebih rendah daripada 1.5 peratus dalam tinjauan sebelum ini.

Inflasi keseluruhan pula dijangka mencapai 0.9 peratus, lebih rendah daripada 1.7 peratus dalam tinjauan sebelum ini.

Sehubungan itu, lebih ramai pakar ekonomi kini menjangkakan MAS akan melonggarkan lagi dasar kewangan Singapura pada mesyuarat suku tahunan seterusnya pada Julai, lapor The Business Times (BT).

Namun, jangkaan terkini tersebut masih berada dalam julat ramalan rasmi, iaitu antara 0 dengan 2 peratus bagi pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (GDP), dan antara 0.5 dengan 1.5 peratus bagi kededua inflasi keseluruhan dan inflasi teras.

Tinjauan terbaru tersebut telah dihantar kepada 25 peramal profesional pada 22 Mei, dan menerima 20 respons.

Ia mencerminkan pandangan peramal profesional tersebut, dan bukannya MAS.

Dalam tinjauan terkini, pakar ekonomi telah mengurangkan ramalan pertumbuhan Singapura bagi semua sektor.

Khususnya, sektor perkilangan dijangka susut 0.3 peratus, berbeza dengan pertumbuhan 2.9 peratus yang dijangka diraih sektor tersebut dalam tinjauan pada Mac.

Sektor kewangan dan insurans dijangka meraih pertumbuhan 3.3 peratus – lebih rendah daripada jangkaan pertumbuhan 4 peratus sebelum ini.

Ramalan pertumbuhan juga dikurangkan kepada 2.2 peratus bagi sektor perdagangan borong dan runcit, daripada 2.7 peratus sebelum ini; dan 1.5 peratus bagi khidmat penginapan dan makanan, daripada 2 peratus sebelum ini.

Ramalan bagi sektor pembinaan pula turun sedikit kepada 3.3 peratus, berbanding 3.4 peratus sebelum ini.

Seiring dengan jangkaan lebih lemah bagi sektor pengilangan, ramalan pertumbuhan bagi Eksport Bukan Minyak Dalam Negeri (Nodx) Singapura turut dikurangkan kepada 1 peratus, berbanding 2.8 peratus sebelum ini.

Kadar pengangguran keseluruhan bagi 2025 pula dijangka naik sedikit kepada 2.2 peratus, daripada 2 peratus dalam tinjauan sebelum ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg