Eksport Singapura terus merosot pada Ogos, menambah tekanan kepada penyusutan yang dicatatkan pada Julai, apabila kedua-dua produk elektronik dan bukan elektronik terjejas dengan tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat.
Enterprise Singapore (EnterpriseSG) menyatakan bahawa pihaknya sedang memantau kesan tarif tersebut dan mungkin akan menyemak semula unjuran eksport bukan minyak bagi 2025 jika keadaan bertambah buruk.
Berbanding Ogos 2024, Eksport Bukan Minyak Dalam Negeri (Nodx) menyusut 11.3 peratus pada Ogos 2025, susulan penurunan yang disemak menjadi 4.7 peratus pada Julai 2025.
Prestasi itu tidak mencapai jangkaan penganalisis yang meramalkan peningkatan 0.8 peratus bagi eksport utama pada Ogos.
Nodx meningkat 1.6 peratus bagi tempoh Januari hingga Ogos 2025, lapor The Straits Times (ST).
Pakar ekonomi di Oxford Economics, Cik Sheanu Yue, berkata data Ogos lebih lemah daripada jangkaan mungkin kerana aktiviti mempercepat penghantaran pesanan akhir sebelum tarif Amerika mula berkuat kuasa sudah mula berkurangan.
Cik Yue menambah bahawa daya tahan Singapura dijangka berkurangan, dan data perdagangan pada Julai dan Ogos menguatkan pandangannya bahawa Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) akan menyusut pada suku ketiga mengikut kiraan suku ke suku yang disesuaikan mengikut musim.
Pakar ekonomi DBS, Encik Chua Han Teng, berkata meskipun tarif timbal balik Amerika ke atas barangan import Singapura kekal pada 10 peratus, peningkatan duti bagi rakan dagang negara itu yang berkuat kuasa sejak Ogos kemungkinan telah menjejas rantaian bekalan.
Ini sekali gus memberi tekanan kepada permintaan luar bagi Nodx.
Menurut Encik Chua, profil eksport Singapura pada Julai dan Ogos turun berbanding daya tahan yang ditunjukkan pada separuh pertama 2025.
Encik Chua turut menjangkakan lebih banyak cabaran dan ketidaktentuan berikutan landskap perdagangan dunia yang tidak menentu.
Beliau menambah bahawa penghantaran elektronik dan bioperubatan Singapura kekal terdedah kepada tarif Amerika yang dirancang akan dikenakan ke atas produk semikonduktor dan farmaseutikal.
Penghantaran produk elektronik turun 6.5 peratus pada Ogos, menamatkan pertumbuhan 10 bulan berturut-turut selepas Nodx elektronik meningkat 2.7 peratus pada Julai.
Penurunan itu didorong oleh eksport produk media cakera dan litar bersepadu. Eksport bahagian komputer peribadi turut turun.
Encik Chua menekankan bahawa eksport elektronik melonjak 32.8 peratus pada Ogos 2024 – bacaan tertinggi bagi tahun itu – sekali gus menjadikan pertumbuhan 2025 kelihatan lebih kecil jika dibandingkan dengan bacaan tersebut.
Nodx bukan elektronik menyusut 13 peratus pada Ogos berbanding tahun sebelumnya, susulan penurunan 6.7 peratus pada Julai.
Encik Chua berkata ini merupakan kejatuhan paling ketara sejak Mac 2024, dengan penurunan itu dipacu oleh penghantaran mesin khusus, persiapan makanan dan petrokimia.
Hanya tiga daripada 10 pasaran eksport utama Singapura menjangkakan peningkatan penghantaran pada Ogos.
Penghantaran ke Amerika turun 28.8 peratus pada Ogos, susulan penyusutan 42.8 peratus pada Julai, disebabkan penurunan jumlah eksport produk persiapan makanan, mesin khusus dan produk media cakera.
Eksport ke China menyusut 21.5 peratus pada Ogos, selepas penurunan 12.3 peratus pada Julai, berikutan eksport mesin khusus, emas bukan tunai dan litar bersepadu yang lebih rendah.
Nodx ke Indonesia menyusut 39.6 peratus pada Ogos, meneruskan penurunan 32.3 peratus pada Julai, didorong eksport emas bukan tunai, petrokimia dan mesin elektrik lebih rendah.
Eksport Nodx ke Taiwan, Korea Selatan dan Kesatuan Eropah (EU) meningkat, namun pada kadar lebih perlahan berbanding Julai.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg