Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Eksport utama S’pura lonjak 10.7% pada Ogos

Sep 17, 2024 | 12:18 PM
Penghantaran produk elektronik melonjak 35.1 peratus tahun ke tahun pada Ogos, didorong sebahagian besarnya oleh eksport litar bersepadu dan produk media cakera.
Penghantaran produk elektronik melonjak 35.1 peratus tahun ke tahun pada Ogos, didorong sebahagian besarnya oleh eksport litar bersepadu dan produk media cakera. - Foto ST

Eksport utama Singapura pada Ogos melanjutkan rentetan bulan sebelumnya berikutan lonjakan dalam penghantaran barangan elektronik, sedang kedua-dua eksport elektronik dan bukan elektronik meningkat.

Eksport Bukan Minyak Dalam Negeri (Nodx) meningkat 10.7 peratus tahun ke tahun pada Ogos, melanjutkan lonjakan mengejut 15.7 peratus pada bulan sebelumnya, data daripada Enterprise Singapore (EnterpriseSG) menunjukkan pada 17 September.

Bagaimanapun, pada asas bulanan pelarasan bermusim, Nodx jatuh sebanyak 4.7 peratus – kelembapan mendadak daripada pengembangan 12.2 peratus bulan sebelumnya – kepada $14.7 bilion pada Ogos, lapor The Business Times.

Namun, penghantaran produk elektronik melonjak 35.1 peratus tahun ke tahun pada Ogos, meningkat daripada lonjakan 16.8 peratus bulan sebelumnya.

Ini didorong sebahagian besarnya oleh eksport litar bersepadu dan produk media cakera, kata EnterpriseSG.

Penghantaran bukan elektronik tumbuh lebih sederhana – 3.7 peratus tahun ke tahun dalam tempoh yang sama – berkurang dengan ketara daripada pertumbuhan 15.5 peratus pada bulan sebelumnya.

Pengembangan itu kebanyakannya diterajui oleh jentera khusus dan emas bukan kewangan.

Nodx berkembang dalam lapan daripada 10 pasaran teratas Singapura, dengan zon euro dan Jepun bertentang dengan arah aliran itu. Ini dibandingkan dengan enam pada Julai.

Eksport ke Hong Kong mencatatkan peningkatan paling dramatik dengan lonjakan 70.6 peratus tahun ke tahun, berubah daripada penguncupan 3.3 peratus bagi Julai.

Pihak berkuasa mengaitkan pertumbuhan itu kepada litar bersepadu, emas bukan kewangan dan produk media cakera.

Nodx ke China, Malaysia, Amerika Syarikat, Indonesia dan Thailand berkurang berbanding bulan sebelumnya, walaupun pertumbuhan kekal positif.

Penghantaran ke China meningkat 18.8 peratus tahun ke tahun pada Ogos, berbanding 21.1 peratus sebelum ini, manakala penghantaran ke Amerika meningkat 6.4 peratus tahun ke tahun, merosot daripada 28.9 peratus pada Julai.

Sebaliknya, eksport ke Jepun menyusut 29.6 peratus tahun ke tahun pada Ogos, meningkat daripada penguncupan 7.9 peratus bulan sebelumnya.

Nodx ke zon euro juga turun 20.9 peratus tahun ke tahun, melanjutkan penguncupan 4.7 peratus pada Julai.

Secara keseluruhan, jumlah perdagangan meningkat 3.1 peratus tahun ke tahun pada Ogos, susut daripada pengembangan 13.6 peratus bulan sebelumnya.

Bagaimanapun, secara berurutan, jumlah perdagangan menyusut sebanyak 2.8 peratus, berbalik daripada pertumbuhan 3.1 peratus pada Julai.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg