Eksport Bukan Minyak Dalam Negeri (Nodx) Singapura melonjak 46.2 peratus pada Ogos, melanjutkan pertumbuhan 24.1 peratus pada Julai, berikutan penghantaran barangan elektronik yang terus meningkat didorong oleh permintaan berkaitan kecerdasan buatan (AI).

Ini merupakan pertumbuhan dua digit bagi bulan keenam berturut-turut untuk Nodx negara ini, jauh mengatasi ramalan sebanyak 35.1 peratus oleh ahli ekonomi dalam satu tinjauan Bloomberg.

Namun, penganalisis memberi amaran bahawa meskipun Singapura akan terus mendapat manfaat daripada pelaburan AI sejagat, kadar pertumbuhan kukuh ini mungkin tidak dapat dikekalkan dalam tempoh terdekat.

Penghantaran barangan elektronik melonjak 131.8 peratus, meningkat daripada 112 peratus pada Julai, manakala penghantaran barangan bukan elektronik berkembang 12 peratus, menurut data yang dikeluarkan oleh Enterprise Singapore (EnterpriseSG) pada 17 September.

Produk media cakera dan komputer peribadi menerajui pertumbuhan tiga angka bagi bulan ketiga berturut-turut untuk penghantaran barangan elektronik.

Produk media cakera mencatat kenaikan tertinggi sebanyak 290.2 peratus, manakala komputer peribadi meningkat 237.9 peratus.

Penghantaran litar bersepadu pula naik 90.9 peratus.

Pakar ekonomi kanan DBS Bank, Encik Chua Han Teng, berkata meskipun terdapat tanda-tanda kekangan bekalan kilang dalam pengeluaran cip memori jalur lebar tinggi, permintaan terhadap perkakasan berkaitan AI kekal sangat tinggi. 

Ini dipacu oleh pelaburan besar-besaran syarikat penyedia perkhidmatan awan gergasi dalam prasarana AI.

Pembangunan prasarana AI sejagat akan terus menyokong pertumbuhan eksport Singapura, kata para penganalisis.

Amerika Syarikat khususnya, menerajui 10 pasaran Nodx utama Singapura bagi eksport barangan elektronik, mencatat lonjakan sebanyak 342.4 peratus.

Eksport barangan elektronik ke India dan Indonesia juga menyaksikan peningkatan lebih dua kali ganda berbanding Julai. 

Pakar Ekonomi UOB, Encik Jester Koh, mengaitkan perkembangan ini dengan permintaan semakin kukuh dipacu oleh peningkatan penggunaan penyelesaian yang berasaskan AI oleh syarikat tempatan.

Sementara itu, eksport barangan elektronik ke China berkembang 86.7 peratus pada Ogos, lebih tinggi berbanding 58.5 peratus pada Julai, dengan perbelanjaan prasarana moden China yang semakin meningkat turut merancakkan permintaan terhadap cip semikonduktor, jelas pakar ekonomi Maybank, Encik Chua Hak Bin dan Encik Brian Lee.

Eksport emas bukan kewangan menerajui pertumbuhan penghantaran barangan bukan elektronik dengan lonjakan 67 peratus.

Mesin khusus pula berkembang 57.7 peratus, manakala peralatan perubatan mencatat peningkatan 22.1 peratus.

Meskipun penghantaran barangan bukan elektronik pulih daripada penurunan 2.3 peratus pada Julai, Encik Chua daripada DBS menjelaskan, ia sebahagiannya didorong oleh kesan asas yang rendah.

Beliau menggariskan kekangan bekalan bahan mentah dan cabaran yang dihadapi oleh eksport petrokimia sebagai kekangan yang akan berterusan di tengah-tengah gangguan yang belum selesai di Timur Tengah.

Ketua Pakar Ekonomi Bank OCBC, Cik Selena Ling, berkata walaupun angka Nodx pada Ogos amat memberangsangkan, ia mungkin memperbesarkan momentum sebenar. 

Ini kerana asas perbandingan setahun lalu adalah rendah, manakala lonjakan AI hanya mula menjadi pantas pada akhir 2025.

“Oleh itu, pertumbuhan 46.2 peratus berbanding tahun lalu (2025) ini berkemungkinan tidak akan berterusan bagi tempoh yang lama,” kata beliau.

Cik Ling menambah bahawa pertumbuhan Nodx dijangka sederhana pada separuh kedua 2026 berikutan kesan asas yang tinggi dan peratusan pertumbuhan Nodx utama mungkin reda meskipun permintaan kekal kukuh.