Eksport Bukan Minyak Dalam Negeri (Nodx) Singapura melonjak 24.2 peratus pada Julai, melanjutkan peningkatan 20.8 peratus yang dicatatkan pada Jun.

Peningkatan tersebut didorong penghantaran barangan elektronik yang terus melonjak dipacu oleh permintaan bagi barangan berkaitan kecerdasan buatan (AI).

Namun, kadar pertumbuhan tersebut lebih rendah berbanding ramalan pertumbuhan sebanyak 26.5 peratus yang diramalkan pakar ekonomi dalam satu tinjauan.

Eksport barangan elektronik berkembang 112 peratus pada Julai, berbanding 105.1 peratus pada Jun, menurut data yang dikeluarkan oleh Enterprise Singapore (EnterpriseSG) pada 17 Ogos.

Sumbangan terbesar kepada pertumbuhan ini didorong oleh produk media cakera yang mencatat peningkatan tertinggi sebanyak 339.1 peratus, diikuti komputer peribadi (PC) sebanyak 120.8 peratus, dan litar bersepadu yang meningkat 84.5 peratus.

Sementara itu, penghantaran barangan bukan elektronik merosot 2.3 peratus, berbanding penurunan 2.8 peratus pada Jun.

Penurunan pada Julai itu berpunca daripada eksport produk farmaseutikal yang merosot sebanyak 56.7 peratus, petrokimia yang menurun sebanyak 22.5 peratus, dan penyediaan makanan sebanyak 17.9 peratus.

Secara keseluruhan, jumlah perdagangan barangan melonjak 38.6 peratus bagi tempoh tahun ke tahun pada Julai, menyusuli pertumbuhan 49.3 peratus pada Jun.

Peningkatan itu merangkumi kedua-dua sektor eksport dan import.

Pada Julai, eksport utama ke hampir semua 10 pasaran utama Singapura mencatatkan kenaikan, kecuali satu pasaran.

Nodx ke Kesatuan Eropah (EU) – yang merangkumi 27 negara – merosot 35.5 peratus, berbanding pertumbuhan 20.8 peratus yang dicatatkan pada Jun.

Sebaliknya, Nodx ke semua pasaran lain mencatatkan pertumbuhan pada Julai.

Eksport ke Amerika Syarikat mencatat peningkatan tertinggi iaitu 62.8 peratus, diikuti Korea Selatan (53.3 peratus) dan China (37.6 peratus).

Eksport ke Hong Kong mencatat pertumbuhan sebanyak 36.4 peratus, diikuti Taiwan sebanyak 32.4 peratus, dan Malaysia meningkat sebanyak 23.4 peratus.

Ini diikuti oleh Thailand dengan peningkatan sebanyak 18 peratus, India sebanyak 13 peratus, dan Indonesia sebanyak 12.4 peratus.

EnterpriseSG baru-baru ini telah meningkatkan unjuran Nodx Singapura bagi 2026 kepada 14 peratus hingga 16 peratus, berbanding 3 peratus hingga 5 peratus sebelum ini.

Agensi itu dalam semakan perdagangan suku tahunannya pada 11 Ogos menyatakan bahawa langkah meningkatkan unjuran ini didorong terutamanya oleh prestasi Nodx separuh pertama 2026 yang lebih baik daripada jangkaan.

Ia menambah bahawa eksport utama berkembang sebanyak 18.6 peratus bagi tempoh tahun ke tahun pada separuh pertama 2026, sekali gus mencatatkan prestasi separuh pertama paling kukuh sejak 2010.

Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada 11 Ogos turut meningkatkan unjuran pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) bagi 2026 kepada 4.5 peratus hingga 5.5 peratus, berbanding ramalan awal iaitu 2 peratus hingga 4 peratus.

Ini mencerminkan prestasi ekonomi yang lebih baik daripada jangkaan pada separuh pertama, serta prospek yang bertambah baik hasil peningkatan pesat perbelanjaan modal berkaitan AI di peringkat sejagat.