Topik diikuti
Pergi ke BHkuKeluaran kilang naik 6.8%, dipacu kejuruteraan jitu, permintaan mantap AI
Semua kelompok catat pertumbuhan kecuali bioperubatan dan bahan kimia
Pengeluaran perkilangan Singapura meningkat pada Julai, dengan semua kelompok mencatat pertumbuhan, kecuali bioperubatan dan bahan kimia.
Jumlah pengeluaran kilang meningkat 6.8 peratus tahun ke tahun, selepas naik 7.5 peratus pada Jun, mengatasi unjuran 6.7 peratus pakar ekonomi dalam tinjauan Bloomberg.
Menurut data Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) pada 26 Ogos, pengeluaran meningkat 8 peratus apabila perkilangan bioperubatan dikecualikan.
Pakar ekonomi berkata terdapat tanda awal pertumbuhan berkaitan kecerdasan buatan (AI) mula reda sedang pertumbuhan pengeluaran elektronik perlahan, namun permintaan luar kekal kukuh.
Standard Chartered menyatakan dua penurunan bulanan berturut-turut dalam pengeluaran elektronik wajar dipantau, tetapi tempahan yang kukuh, eksport elektronik, eksport semula dan petunjuk Indeks Pengurus Pembelian (PMI), penanda aras prestasi keseluruhan sektor perkilangan, menandakan kegiatan sektor luaran masih ada ruang untuk berkembang.
Walaupun pertumbuhan pengeluaran elektronik semakin perlahan, pakar ekonomi Maybank, Encik Brian Lee, berkata ledakan AI tidak mungkin berakhir dalam masa terdekat kerana pembangunan prasarana AI sedunia terus menyokong elektronik Singapura.
Permintaan peralatan semikonduktor kekal kukuh seiring peningkatan pengeluaran cip di seluruh dunia, katanya.
Pakar ekonomi kanan DBS, Encik Chua Han Teng, berkata eksport elektronik dan kejuruteraan jitu turut disokong pelaburan besar dalam prasarana AI, khususnya oleh syarikat berskala besar utama Amerika Syarikat.
Encik Lee pula berkata ledakan peralatan AI sedunia tidak mungkin terhenti mendadak sekalipun syarikat berskala besar mengurangkan rancangan perbelanjaan.
Ini kerana projek pusat data memerlukan tempoh pembangunan yang panjang dan kos dilaburkan agak besar. Banyak kemudahan yang sudah dirancang akan terus memacu permintaan cip, peralatan penyimpanan dan rangkaian, tambahnya.
Namun, Encik Chua menjangkakan prestasi tidak seragam berikutan kenaikan kos bahan dan gangguan rantaian bekalan.
Pakar Ekonomi Bersekutu UOB, Encik Jester Koh, berkata bank itu menjangkakan kegiatan penapisan minyak dan pengeluaran petrokimia menghadapi tekanan selepas konflik Timur Tengah kembali memuncak.
Kejuruteraan jitu pula mencatat pertumbuhan terbesar pada Julai, melonjak 17.7 peratus tahun ke tahun, dengan mesin dan sistem naik 18.2 peratus, didorong peningkatan pengeluaran peralatan semikonduktor.
Industri elektronik, yang menyumbang hampir separuh pengeluaran perkilangan Singapura, meningkat 11.2 peratus, selepas naik 21.3 peratus pada Jun dan 35.8 peratus pada Mei, diterajui infokom dan elektronik pengguna serta semikonduktor hasil permintaan berkaitan AI yang berterusan.
Semikonduktor naik 8 peratus, manakala infokom dan elektronik pengguna melonjak 51.7 peratus.
Perkilangan am meningkat 4.9 peratus, dengan kebanyakan bahagian mencatat pertumbuhan.
Dalam kelompok itu, percetakan meningkat 2.7 peratus dan makanan, minuman serta tembakau 10.4 peratus, manakala industri lain menguncup 5.9 peratus akibat pengeluaran produk logam struktur dan perabot yang lebih rendah.
Kejuruteraan pengangkutan meningkat 10.8 peratus, didorong pertumbuhan darat dan aeroangkasa.
Aeroangkasa meningkat 15.8 peratus, disokong peningkatan pengeluaran alat ganti pesawat serta kerja penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) penerbangan yang berterusan daripada syarikat penerbangan komersial.
Selain elektronik dan kelompok lain yang berkembang, industri perkilangan yang lain mencatat prestasi lebih lemah pada Julai.
Pengeluaran perkilangan bioperubatan merosot 5.3 peratus berbanding setahun lalu.
Pengeluaran bahan kimia pula merosot 10.6 peratus berbanding setahun lalu.
