Eksport utama Singapura melonjak pada Mac, didorong peningkatan mendadak dalam penghantaran elektronik ekoran permintaan kukuh bagi produk berkaitan kecerdasan buatan (AI).

Walaupun konflik perang Iran meletus pada akhir Februari, Eksport Bukan Minyak Dalam Negeri (Nodx) terus berkembang untuk bulan ketujuh berturut-turut.

Demikian menurut perangkaan Enterprise Singapore (EnterpriseSG) pada 17 April.

Nodx meningkat 15.3 peratus pada Mac 2026 berbanding 2025, mengatasi angka 4 peratus pada Februari dan jauh melebihi unjuran 8.1 peratus oleh penganalisis dalam satu tinjauan Bloomberg.

Nodx elektronik melonjak 74 peratus, didorong permintaan berkaitan AI dan kesan asas rendah pada 2025.

Namun, Nodx bukan elektronik pula susut 0.6 peratus berbanding Mac 2025, walaupun ini merupakan penurunan lebih kecil berbanding 6.9 peratus pada Februari 2026.

Singapura telah menaikkan unjuran eksport utama 2026 pada Februari, didorong jangkaan keadaan ekonomi sejagat yang bertambah baik, terutama permintaan berkaitan AI.

Nodx dijangka berkembang antara 2 dengan 4 peratus pada 2026, meningkat daripada unjuran awal 0 hingga 2 peratus pada November, ujar EnterpriseSG pada 10 Februari.

Dalam sektor elektronik, litar bersepadu atau semikonduktor menjadi pemacu utama dengan lonjakan 113.8 peratus, mencecah $1.7 bilion.

Eksport komputer peribadi meningkat 57.3 peratus, manakala produk media cakera melonjak 78.3 peratus.

Dalam sektor bukan elektronik, eksport struktur kapal dan bot menjunam 99.8 peratus.

Penyediaan makanan menyusut 42 peratus, manakala farmaseutikal turun 18.4 peratus.

Antara 10 pasaran utama, eksport Singapura ke Hong Kong, Taiwan dan China meningkat pada Mac.

Sebaliknya, eksport ke Indonesia, zon euro, Amerika Syarikat dan Thailand menunjukkan penurunan.

Eksport ke Hong Kong melonjak 99.4 peratus, didorong oleh semikonduktor yang melonjak 176 peratus, serta emas bukan kewangan.

Emas bukan kewangan merujuk kepada emas yang diniagakan sebagai komoditi dan bukan sebagai simpanan bank pusat.

Pertumbuhan eksport ke Taiwan turut didorong oleh semikonduktor dan jentera khusus.

Eksport ke China meningkat, disokong oleh bahan kimia khusus, jentera khusus dan semikonduktor.

Sebaliknya, eksport ke Amerika terus menurun, sebanyak 2.7 peratus, namun pada kadar lebih kecil berbanding kejatuhan 44.8 peratus pada Februari.