Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Eksport utama S’pura 2025 mungkin turun ekoran tarif AS, perang dagang

Lebih rendah daripada jangkaan pakar pada Mac
Apr 17, 2025 | 4:09 PM
Data terkini menunjukkan pertumbuhan eksport utama merosot pada Mac, menjelang pengumuman tarif global oleh Encik Trump pada 2 April, yang mencetuskan perang perdagangan dengan China
Data terkini menunjukkan pertumbuhan eksport utama merosot pada Mac, menjelang pengumuman tarif global oleh Encik Trump pada 2 April, yang mencetuskan perang perdagangan dengan China - Foto ST

Beberapa pakar ekonomi meramalkan eksport utama Singapura akan turun pada 2025 akibat ketidaktentuan perdagangan global ekoran tarif yang dikenakan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump.

Menurut Enterprise Singapore pada 17 April, data terkini pada Mac bagi eksport bukan minyak dalam negeri (Nodx) menyatakan ia “sentiasa memantau situasi tarif yang sedang berkembang dan akan menyesuaikan ramalan Nodx untuk 2025 mengikut keperluan bagi mencerminkan keadaan pasaran yang berubah”.

Agensi perdagangan itu meramalkan pada Februari bahawa Nodx akan meningkat 1 hingga 3 peratus pada 2025, selepas mencatatkan pertumbuhan 0.2 peratus pada 2024.

Data terkini menunjukkan pertumbuhan eksport utama merosot pada Mac, menjelang pengumuman tarif global oleh Encik Trump pada 2 April, yang mencetuskan perang perdagangan dengan China, lapor The Straits Times (ST).

Penghantaran pada Mac meningkat 5.4 peratus berbanding 2024 – lebih rendah daripada jangkaan dan lebih rendah daripada kenaikan 7.5 peratus pada Februari.

Para penganalisis yang ditinjau oleh Reuters meramalkan pertumbuhan sebanyak 14.1 peratus.

Eksport elektronik meningkat 11.9 peratus berbanding 2024, didorong permintaan bagi komputer peribadi, produk media cakera dan cip elektronik.

Eksport bukan elektronik pula naik 3.8 peratus – separuh daripada kenaikan 7.7 peratus yang dijangka pada Februari.

Emas bukan kewangan (non-monetary gold) meningkat 64.7 peratus, manakala eksport farmaseutikal naik 24.9 peratus.

Tidak seperti emas kewangan yang dijadikan tukaran antara bank pusat di seluruh dunia, emas bukan kewangan merujuk kepada semua jenis emas lain dalam edaran.

Eksport ke Taiwan, Indonesia dan Korea Selatan meningkat, tetapi penghantaran ke China – pasaran terbesar Singapura – menurun.

Penurunan terbesar adalah dari China, sebanyak 29.4 peratus, lebih teruk berbanding penurunan 27.4 peratus pada Januari.

Pakar Ekonomi Maybank, Encik Chua Hak Bin, berkata tarif Amerika mengganggu permintaan dan rantaian bekalan China.

“Pertumbuhan eksport dijangka semakin perlahan dan mungkin merosot dalam beberapa bulan akan datang,” katanya.

Penghantaran ke Amerika ialah 5.7 peratus pada Mac, turun ketara berbanding peningkatan 21.5 peratus pada Februari. Eksport ke Taiwan naik 45.7 peratus, disebabkan mesin khas, alat pengukur dan cip bersepadu.

Eksport ke Indonesia berkembang 63 peratus, didorong oleh struktur kapal, komputer peribadi dan emas bukan kewangan. Eksport ke Korea Selatan naik 21.6 peratus, disokong oleh mesin khas dan cip bersepadu.

Jumlah perdagangan meningkat 3.4 peratus berbanding Mac 2024, selepas peningkatan 4.6 peratus pada Februari.

Pakar Ekonomi Kanan DBS Bank, Encik Chua Han Teng, berkata pengurangan ramalan eksport Enterprise Singapore perlu selaras dengan unjuran pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) 2025 yang lebih rendah.

Pertubuhan Dagangan Dunia (WTO) kini menjangkakan perdagangan barangan global menyusut 0.2 peratus, berbanding ramalan Januari, yang menunjukkan kenaikan 2.7  peratus.

Encik Chua berkata WTO menurunkan ramalan 2025 disebabkan tarif meluas, tindak balas dan ketidaktentuan.

Pada 14 April, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) menurunkan ramalan pertumbuhan GDP 2025 kepada antara sifar dengan 2  peratus, berbanding 1 hingga 3 peratus sebelum ini.

Pakar ekonomi lain juga menurunkan ramalan Nodx mereka bagi 2025.

Ketua Ekonomis Kumpulan RHB Bank, Encik Barnabas Gan, menurunkan ramalan pertumbuhan kepada sifar peratus, berbanding 2 peratus sebelumnya.

Pakar Ekonomi OCBC Bank, Cik Selena Ling, menurunkan ramalan Nodx 2025 kepada antara negatif 1 dengan 1 peratus, berbanding ramalan 2 hingga 4 peratus sebelum ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg