Eksport utama Singapura meningkat pada Oktober, melebihi jangkaan apabila eksport elektronik dan bukan elektronik meningkat.
Eksport Bukan Minyak Dalam Negeri (Nodx) meningkat 22.2 peratus berbanding 2024, selepas penyesuaian pertumbuhan 7 peratus pada September, menurut data dari Enterprise Singapore (EnterpriseSG) pada 17 November.
Angka ini melebihi kenaikan 7.5 peratus yang diramalkan ahli ekonomi dalam tinjauan Bloomberg.
Penghantaran produk elektronik meningkat 33.2 peratus pada Oktober, menyusuli kenaikan 30.4 peratus pada September, lapor The Straits Times (ST).
Kenaikan ini didorong lonjakan 77.7 peratus dalam eksport komputer peribadi. Penghantaran produk media cakera pula meningkat 31.4 peratus dan meningkat 40.9 peratus untuk litar bersepadu.
Penghantaran bukan elektronik, yang sebahagian besarnya terdiri daripada produk farmaseutikal, meningkat 18.8 peratus pada Oktober, selepas kenaikan 0.5 peratus pada September.
Pertumbuhan ini dipacu lonjakan 176.8 peratus dalam eksport emas bukan kewangan, kenaikan 25.2 peratus untuk farmaseutikal, dan peningkatan 16.1 peratus untuk mesin khas.
Eksport Nodx ke Taiwan meningkat 61.5 peratus, menyusuli kenaikan 31.9 peratus pada September, disebabkan lonjakan 119.8 peratus dalam eksport mesin khas, kenaikan 30.7 peratus dalam litar bersepadu, dan lonjakan 289.1 peratus dalam produk media cakera.
Eksport ke Thailand meningkat 91.1 peratus pada Oktober, menyusuli pertumbuhan 23.9 peratus pada September, kerana eksport emas bukan kewangan melonjak 844.6 peratus.
Sementara itu, penghantaran litar bersepadu meningkat 73.9 peratus dan papan litar bercetak kosong naik 71.3 peratus.
Eksport Nodx ke Hong Kong berkembang 66.9 peratus pada Oktober, berbanding dengan kenaikan 56.3 peratus pada September, didorong pertumbuhan 93.3 peratus dalam penghantaran litar bersepadu, manakala eksport mesin khas melonjak 848.1 peratus dan eksport emas bukan kewangan meningkat 68.9 peratus.
Eksport utama ke Amerika Syarikat, pasaran eksport terbesar Singapura, susut sebanyak 12.5 peratus, manakala eksport ke Jepun pula jatuh 0.1 peratus.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg