Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Eksport utama S’pura pulih 6.9% pada Sep

Oct 17, 2025 | 2:40 PM
Pemulihan eksport yang mengejutkan berlaku berikutan lonjakan penghantaran elektronik sebanyak 30.4 peratus.
Pemulihan eksport yang mengejutkan berlaku berikutan lonjakan penghantaran elektronik sebanyak 30.4 peratus. - Foto fail

Eksport utama Singapura mencatat pemulihan mengejutkan pada September berikutan lonjakan penghantaran barangan elektronik.

Eksport Bukan Minyak Dalam Negeri (Nodx) meningkat 6.9 peratus pada September 2025 berbanding tempoh yang sama pada 2024, setelah mencatatkan kemerosotan 11.5 peratus pada Ogos.

Demikian menurut data yang dikeluarkan Enterprise Singapore (EnterpriseSG) pada 17 Oktober.

Ahli ekonomi yang ditinjau Bloomberg telah meramalkan bahawa Nodx akan menyusut 2.1 peratus pada September, lapor akhbar The Straits Times (ST).

Eksport elektronik melonjak 30.4 peratus berbanding 2024, berbanding penurunan 6.5 peratus pada Ogos.

Pertumbuhan itu disokong oleh komputer peribadi, produk media cakera dan litar bersepadu.

Eksport bukan elektronik meningkat 0.4 peratus pada September, selepas mencatat penurunan 13.3 peratus pada Ogos.

Emas bukan kewangan mencatatkan peningkatan terbesar, sebanyak 82.7 peratus, sementara jentera khusus naik 14.1 peratus.

Eksport utama ke Hong Kong, Taiwan, dan China meningkat pada September, walaupun penghantaran ke Kesatuan Eropah (EU), Amerika Syarikat dan Indonesia menurun.

Penurunan utama berlaku di EU, apabila penghantaran jatuh 20.5 peratus – satu perbezaan ketara berbanding kenaikan 29 peratus pada Ogos.

Penghantaran ke Amerika jatuh 9.9 peratus, dengan penurunan lebih kecil berbanding 29.1 peratus pada Ogos.

Penghantaran ke Hong Kong melonjak 56.3 peratus – membalikkan penurunan 20.9 peratus pada Ogos – disebabkan oleh cip bersepadu, emas bukan kewangan dan jentera khusus.

Penghantaran ke Taiwan meningkat 31.9 peratus, meneruskan kenaikan 9.1 peratus pada Ogos, berikutan peningkatan eksport cip bersepadu, jentera khusus dan farmaseutikal.

Eksport ke China meningkat 10.1 peratus pada September, selepas penurunan 22 peratus pada Ogos, disebabkan oleh jentera khusus, instrumen pengukur dan cip bersepadu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg