Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura naikkan ramalan pertumbuhan ekon 2026 kepada 4.5-5.5%
Ekon suku kedua tumbuh 5.9%, didorong sektor perkilangan, perdagangan borong dan kewangan
Singapura dijangka mencatat pertumbuhan ekonomi antara 4.5 dengan 5.5 peratus pada 2026, lebih tinggi berbanding ramalan awal, iaitu 2 hingga 4 peratus.
Demikian menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada 11 Ogos.
Semakan unjuran yang dinaikkan itu susulan prestasi ekonomi separuh pertama 2026 yang lebih baik daripada jangkaan,.
Ekonomi Singapura berkembang pada 6.1 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.
Sejak ramalan awal pada Mei lalu, lonjakan pelaburan kecerdasan buatan (AI) dunia, terbukti lebih kukuh daripada jangkaan dan telah memberikan dorongan besar kepada pengeluaran serta eksport berkaitan AI di peringkat sejagat, kata Setiausaha Tetap MTI, Dr Beh Swan Gin, semasa satu sidang media.
“Bagi baki tahun ini (2026), lonjakan berterusan dalam perbelanjaan modal berkaitan AI dijangka meningkatkan prospek pertumbuhan ekonomi yang terhubung dengan rantaian nilai teknologi sejagat.
“Khususnya, ramalan pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) 2026 bagi ekonomi rantau ini seperti Korea Selatan, Taiwan dan beberapa negara Asia Tenggara diunjurkan lebih tinggi,” tambah beliau.
Bagi suku kedua 2026 sahaja, ekonomi tumbuh 5.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya, lebih rendah berbanding 6.3 peratus yang dicatatkan pada suku pertama.
Pertumbuhan itu didorong oleh sektor perkilangan, perdagangan borong dan kewangan serta insurans.
Khususnya, perbelanjaan modal berkaitan AI dunia yang kukuh, telah merangsang pertumbuhan dalam kelompok kejuruteraan elektronik dan kejuruteraan jitu bagi sektor perkilangan, serta segmen jentera, peralatan dan bekalan dalam sektor perdagangan borong.
Menjelaskan lanjut tentang ramalan ekonomi Singapura pada 2026 yang telah dinaikkan, Dr Beh berkata kesan ekonomi daripada konflik Timur Tengah didapati tidak seburuk yang dibimbangkan pada mulanya.
Meskipun sekatan di Selat Hormuz telah mengganggu bekalan tenaga dunia, serta input perantaraan utama yang lain, penggunaan bekalan simpanan minyak dan peralihan kepada sumber tenaga alternatif telah mengehadkan kenaikan harga tenaga sejagat.
Bagaimanapun, Dr Beh memberi amaran bahawa ketegangan yang berterusan di rantau tersebut, di samping tahap simpanan minyak sejagat yang lebih rendah, dijangka akan mengekalkan harga tenaga dan input utama lain pada paras yang tinggi pada separuh kedua 2026.
“Harga tenaga dan input yang tinggi ini seterusnya akan memberikan tekanan ke atas inflasi sejagat serta menjejas kegiatan ekonomi dunia,” kata beliau.
Sementara itu, tarif Amerika Syarikat turut dijangka terus menjejas eksport ekonomi yang terkesan.
Ditanya mengenai tarif 12.5 peratus terkini yang dikenakan ke atas sekitar satu pertiga eksport Singapura ke Amerika, Dr Beh berkata dari segi perdagangan, pihaknya “tidak menjangkakan impak” pada ketika ini.
Meski prospek permintaan luaran Singapura bagi 2026 telah bertambah baik, risiko dalam ekonomi dunia tetap wujud, kata Dr Beh.
Khususnya, peningkatan dalam konflik di Timur Tengah secara berterusan boleh mencetuskan kenaikan baharu dalam harga tenaga dan input perantaraan utama lain.
Sementara itu, tindakan tarif tambahan oleh Amerika serta perubahan mendadak sentimen pasaran kewangan yang menjadi lebih berwaspada terhadap perbelanjaan modal berkaitan AI sejagat juga boleh menjejas ekonomi.
Berdasarkan perkembangan itu, walaupun prospek 2026 bagi sektor ekonomi Singapura yang berkaitan dengan kitaran teknologi berasaskan AI telah bertambah baik, prospek bagi sektor yang terjejas secara langsung oleh gangguan bekalan berpunca daripada konflik Timur Tengah pula kekal lemah.
Antaranya, kelompok kimia bagi sektor perkilangan dijangka kekal paling terjejas teruk berpunca daripada gangguan bekalan minyak mentah dan stok suapan (feedstock) yang memaksa syarikat mengurangkan pengeluaran.
Kos bahan api dan perjalanan yang tinggi pula akan menjejas segmen pengangkutan udara dan air dalam sektor pengangkutan dan penyimpanan, serta memperlahankan pertumbuhan sektor penginapan.
Sebaliknya, lonjakan perbelanjaan modal berkaitan AI sejagat akan terus merangsang kelompok kejuruteraan elektronik dan kejuruteraan jitu serta menjana limpahan positif kepada segmen jentera, peralatan dan bekalan.
Sektor perkhidmatan berteraskan eksport seperti infokom, serta kewangan dan insurans pula dijangka mencatat pertumbuhan kukuh.
Sementara itu, sektor pembinaan dan hartanah dijangka kekal berdaya tahan, manakala kesan tekanan inflasi ke atas sektor perdagangan runcit serta makanan dan minuman (F&B) dijangka dapat dikurangkan menerusi langkah sokongan pemerintah seperti Baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC).
“MTI akan terus memantau perkembangan dengan teliti dan menyesuaikan ramalan pertumbuhan GDP dari semasa ke semasa sepanjang tahun ini (2026), sekiranya perlu,” kata Dr Beh.
