Eksport utama Singapura mencatat pemulihan pada November, mengatasi jangkaan penganalisis, dengan kiriman elektronik meneruskan pertumbuhan dua angka.
Eksport Bukan Minyak Dalam Negeri (Nodx) meningkat 3.4 peratus berbanding setahun lalu, menyusuli penurunan yang disemak menjadi 4.7 peratus pada Oktober, menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh Enterprise Singapore (EnterpriseSG) pada 17 Disember.
Penganalisis menjangka penurunan 1 peratus dalam Nodx selepas kemerosotan 4.7 peratus pada Oktober, lapor The Straits Times (ST).
Prestasi Nodx itu dicatat selepas Singapura pada November sekali lagi mengurangkan ramalan pertumbuhan eksport utama bagi keseluruhan 2024 kepada 1 peratus – lebih rendah daripada anggaran pada Ogos bahawa eksport utama akan berkembang 4 hingga 5 peratus – disebabkan pemulihan lebih lemah daripada jangkaan pada separuh kedua 2024.
Bagi 2025, Nodx dijangka berkembang sebanyak 1 hingga 3 peratus.
Pemulihan pada November didorong oleh eksport elektronik yang meningkat 23.2 peratus pada November 2024 berbanding November 2023, jauh lebih pantas daripada pertumbuhan 2.6 peratus pada Oktober.
Dalam segmen elektronik, eksport bagi litar bersepadu, juga dikenali sebagai cip atau semikonduktor, berkembang 28.9 peratus, manakala produk media cakera melonjak 114.7 peratus.
Kiriman komputer peribadi (PC) juga meningkat sebanyak 75.3 peratus.
Bagaimanapun, eksport bukan elektronik terus menguncup sebanyak 1.6 peratus pada November, walaupun ia lebih baik berbanding kemerosotan 6.8 peratus pada Oktober.
Penurunan tersebut dipacu oleh permintaan farmaseutikal tidak menentu, yang menjunam 63.8 peratus.
Dalam pada itu, kiriman petrokimia menyusut 5.3 peratus dan kiriman kertas dan papan kertas merosot 89.9 peratus.
Setelah diselaraskan secara musiman berdasarkan bulanan, Nodx berkembang 14.7 peratus pada November, selepas susut 7.5 peratus pada Oktober. Kededua barangan elektronik dan bukan elektronik mencatat pertumbuhan.
Eksport ke Taiwan, Hong Kong dan Malaysia meningkat pada November.
Eksport ke Taiwan melonjak 42.7 peratus, disebabkan pertumbuhan dalam jentera khusus, instrumen pengukur dan litar bersepadu.
Eksport ke Hong Kong berkembang 35.3 peratus, selepas menguncup 19.8 peratus pada Oktober, disebabkan kiriman meningkat bagi litar bersepadu, emas bukan kewangan dan produk kecantikan peribadi.
Emas bukan kewangan bermakna emas yang tidak dipegang sebagai aset rizab oleh bank pusat dunia.
Dalam pada itu, eksport ke Malaysia meningkat 24.4 peratus, disebabkan kiriman litar bersepadu, peranti komputer lain dan produk media cakera.
Namun, eksport ke Amerika Syarikat, China, Jepun, Thailand dan zon euro merosot.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg