Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Eksport utama S’pura terus merosot, turun 4.6% pada Okt

Penghantaran ke 10 pasaran teratas kuncup walau separuh daripadanya catat pertumbuhan positif
Nov 18, 2024 | 5:10 PM
Eksport domestik bukan minyak (NODX) berkurangan 7.4 peratus kepada 13.6 bilion pada Oktober, melanjutkan penurunan 0.6 peratus pada September.
Eksport domestik bukan minyak (NODX) berkurangan 7.4 peratus kepada 13.6 bilion pada Oktober, melanjutkan penurunan 0.6 peratus pada September. - Foto fail

Eksport utama Singapura jatuh 4.6 peratus pada Oktober daripada setahun lalu, lebih buruk daripada jangkaan, dengan penghantaran bukan elektronik menurun mendadak, menurut data daripada Enterprise Singapore (EnterpriseSG) yang dikeluarkan pada 18 November.

Eksport domestik bukan minyak (NODX) bagi September juga telah disemak dengan ketara kepada pertumbuhan hanya 0.9 peratus daripada setahun lalu.

EnterpriseSG menyatakan ia menjangka NODX berada di bawah “julat ramalan 4 hingga 5 peratus” bagi 2024 berikutan pemulihan lebih lemah daripada jangkaan pada separuh kedua 2024, lapor The Business Times (BT).

Prestasi NODX berada dalam angka negatif bagi sebahagian besar separuh pertama 2024, sebelum kembali mencatatkan pertumbuhan positif pada Julai.

Namun, ia kemudiannya merosot sepanjang tiga bulan berikutnya.  

Dari segi bulanan yang diselaraskan mengikut musim, NODX turun 7.4 peratus pada Oktober kepada $13.6 bilion, melanjutkan penurunan 0.6 peratus pada September.

Penghantaran elektronik meningkat 2.6 peratus pada Oktober 2024 daripada tempoh yang sama tahun lalu, berbanding penurunan 0.7 peratus pada September.

Menurut EnterpriseSG, peningkatan itu disokong terutamanya oleh produk litar bersepadu dan media cakera.

Namun, eksport bukan elektronik jatuh 6.7 peratus pada Oktober daripada setahun lalu, meluputkan kenaikan 1.4 peratus pada September. Penurunan itu disebabkan terutamanya jentera khusus, farmaseutikal dan petrokimia, kata agensi itu.

Eksport ke 10 pasaran teratas Singapura merosot secara keseluruhan pada Oktober, walaupun separuh daripada pasaran itu mencatatkan pertumbuhan positif.

Penghantaran ke China mencatatkan penurunan terbesar sebanyak 22.3 peratus berbanding Oktober 2023, selepas pertumbuhan kecil pada September.  

Ini diikuti zon euro dengan penurunan 21.4 peratus, dan Jepun dengan penguncupan 23 peratus.

Eksport ke Taiwan meningkat 20.4 peratus daripada setahun lalu, bertambah baik daripada kenaikan 6.8 peratus pada September.  

Tahun ke tahun, jumlah keseluruhan perdagangan pada Oktober merosot 2 peratus daripada Oktober 2023, selepas kenaikan 0.4 peratus pada September. 

Dari segi bulan ke bulan, keseluruhan perdagangan berkurangan 1.8 peratus pada Oktober kepada $102.2 bilion, berbanding pertumbuhan 0.6 peratus pada September.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg