Eksport utama Singapura kembali pulih pada Februari selepas penguncupan di tengah-tengah tempoh Tahun Baru Cina (CNY) pada Januari.
Eksport domestik bukan minyak (Nodx) meningkat 7.6 peratus tahun ke tahun pada Februari, membalikkan penurunan 2.1 peratus pada bulan sebelumnya, menurut angka yang dikeluarkan oleh agensi perdagangan Enterprise Singapore pada 17 Mac.
Peningkatan itu kurang daripada anggaran pengembangan 8.3 peratus oleh pakar ekonomi dalam satu tinjauan Reuters.
Untuk mengurangkan kesan daripada CNY yang jatuh pada bulan berbeza, agensi itu menyatakan bahawa Nodx berkembang 2.3 peratus secara agregat sepanjang Januari dan Februari, lapor The Straits Times.
Dalam asas bulanan yang disesuaikan mengikut musim, Nodx meningkat 4.5 peratus pada Februari, selepas penurunan 3.3 peratus disemak pada Januari.
Penghantaran elektronik utama meningkat sebanyak 6.9 peratus tahun ke tahun pada Februari, selepas kenaikan 9.5 peratus pada Januari.
Pertumbuhan disokong oleh produk media cakera, litar bersepadu dan komputer peribadi.
Nodx bukan elektronik meningkat sebanyak 7.8 peratus tahun ke tahun pada Februari, selepas penurunan 4.8 peratus pada Januari.
Emas bukan kewangan mendahului dengan pengembangan 106.9 peratus, didorong oleh permintaan bagi pelaburan selamat di tengah-tengah ketidaktentuan.
Eksport alat pengukur meningkat 23.1 peratus, manakala bahan kimia khusus lain meningkat sebanyak 37.5 peratus.
Tidak seperti emas kewangan yang dijadikan tukaran antara bank pusat di seluruh dunia, emas bukan kewangan merujuk kepada semua jenis emas lain dalam edaran.
Ia boleh terdapat dalam bentuk syiling, jongkong atau serbuk barang kemas.
Emas juga digunakan sebagai logam perusahaan, dan sebagai salutan atau wayar ikatan nipis untuk kebanyakan jenis cip semikonduktor.
Nodx ke Amerika Syarikat, Taiwan dan Kesatuan Eropah (EU) berkembang, namun penghantaran ke China, Hong Kong dan Indonesia merosot.
Penghantaran ke Amerika meningkat sebanyak 21.5 peratus pada Februari berbanding tahun sebelumnya (2024), berikutan peningkatan 27.8 peratus pada bulan sebelumnya.
Ini disebabkan oleh emas bukan kewangan, penyediaan makanan dan peralatan perubatan.
Penghantaran ke Taiwan melonjak 77.9 peratus tahun ke tahun pada Februari, melanjutkan pengembangan 48.3 peratus pada Januari.
Pertumbuhan disokong oleh jentera khusus, alat pengukur dan bahan kimia khusus lain.
Nodx ke EU meningkat 16.7 peratus pada Februari, selepas penguncupan 7.3 peratus pada bulan sebelumnya, disebabkan oleh barangan farmaseutikal, alat pengukur dan koko.
Hambatan utama pada Nodx ialah China, yang menyaksikan penurunan 27.4 peratus dalam penghantaran berbanding kejatuhan 48.5 peratus pada Januari.
Berbanding dengan tahun sebelumnya (2024), jumlah perdagangan meningkat sebanyak 4.6 peratus pada Februari, berikutan peningkatan 6.6 peratus yang disemak pada Januari.
Enterprise Singapore berkata pada Februari bahawa Nodx dijangka meningkat sebanyak 1 hingga 3 peratus pada 2025, selepas menghasilkan pertumbuhan 0.2 peratus pada 2024.
Tetapi agensi itu memberi amaran tentang risiko penurunan pada ramalannya di tengah-tengah “ketidakpastian yang ketara” ekoran geseran perdagangan dalam kalangan ekonomi utama.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg