Ekonomi & Kerja
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Eksport utama S’pura susut 0.1% pada Feb

Mar 18, 2024 | 5:49 PM
Pakar ekonomi menyatakan data Februari dipengaruhi oleh perayaan Tahun Baru Cina, apabila ramai pekerja biasanya mengambil cuti, membawa kepada pengurangan tenaga pekerja dan kelewatan dalam pengeluaran dan penghantaran barangan.
Pakar ekonomi menyatakan data Februari dipengaruhi oleh perayaan Tahun Baru Cina, apabila ramai pekerja biasanya mengambil cuti, membawa kepada pengurangan tenaga pekerja dan kelewatan dalam pengeluaran dan penghantaran barangan. - Foto ST

Eksport domestik bukan minyak (Nodx) Singapura susut 0.1 peratus tahun ke tahun pada Februari kepada $12.99 bilion, namun kebanyakan pakar ekonomi kekal optimistik mengenai ekonomi memandangkan peningkatan ketara dalam eksport elektronik utama.

Mereka juga menyatakan bahawa data Februari dipengaruhi oleh perayaan Tahun Baru Cina (CNY), apabila ramai pekerja biasanya mengambil cuti, membawa kepada pengurangan tenaga pekerja dan kelewatan dalam pengeluaran dan penghantaran barangan, lapor The Straits Times (ST).

Namun, penurunan mendadak itu berbeza daripada ramalan pakar ekonomi sektor swasta yang mencapai konsensus pertumbuhan 4.7 peratus bagi Februari, dan dicatat selepas pengembangan 16.7 peratus tahun ke tahun pada Januari.

Enterprise Singapore (EnterpriseSG) juga menyebut kesan tempoh CNY dalam pengeluaran data Nodx pada 18 Mac.

Ia menyatakan bahawa angka Februari terkesan oleh sektor produk bukan elektronik yang merosot, walaupun eksport elektronik meningkat.

Bagaimanapun, bagi dua bulan pertama 2024 yang digabungkan, Nodx berkembang 8.4 peratus berbanding tempoh sama pada 2023.

Ini lebih baik daripada penguncupan 20.4 peratus tahun ke tahun yang dicatat untuk tempoh sama pada 2023, kata ketua pakar ekonomi dan ketua penyelidikan dan strategi pasaran sejagat di OCBC Bank, Cik Selena Ling.

Pakar ekonomi di Maybank, Encik Brian Lee, menganggap kesan asas memainkan peranan dalam penurunan Nodx pada Februari, memandangkan CNY dirayakan lebih awal pada 2023 iaitu Januari.

“Secara keseluruhan, kami berpandangan bahawa pemulihan eksport kekal teguh walaupun angka Februari lebih lemah sedikit daripada dijangka.

“Krisis di Laut Merah mungkin menjejas eksport pada bulan-bulan awal 2024, mengganggu rantaian bekalan dan melambatkan penghantaran,” kata Encik Lee.

Data perkilangan pada Februari yang dijadual dikeluarkan pada 26 Mac akan memberi gambaran lebih jelas mengenai kekuatan dan rentak pemulihan, tambahnya.

Keyakinan beliau disokong oleh Nodx elektronik yang tumbuh dengan ketara, diterajui kiriman cip yang meningkat buat kali pertama sejak Julai 2022.

Menurut EnterpriseSG, eksport elektronik meningkat sebanyak 5.2 peratus pada Februari berbanding tahun lalu, berikutan peningkatan 0.6 peratus pada Januari.

Bagaimanapun, eksport bukan elektronik turun 1.5 peratus pada Februari 2024 berbanding Februari 2023, selepas meningkat 21.1 peratus pada Januari.

Eksport penyediaan makanan merosot dengan banyak berbanding asas tinggi tahun lalu.

Eksport bahan kimia khusus dan peralatan litar elektrik juga merudum.

Setelah diselaraskan secara musiman berdasarkan bulanan, Nodx merosot 4.8 peratus pada Februari kepada $14.2 bilion, berbanding $14.9 bilion pada Januari.

Nodx ke pasaran utama Singapura secara keseluruhan meningkat pada Februari, diterajui Hong Kong, Amerika Syarikat dan Indonesia.

Namun, kiriman barangan ke Jepun, Malaysia, Taiwan, Kesatuan Eropah, Thailand, Korea Selatan dan China berkurang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg